Mesyuarat bersama PBS-STAR.
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menegaskan semula komitmen untuk bekerjasama rapat dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika kedua-dua parti bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.
Menerusi mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan semalam, kedua-dua parti menekankan fokus mereka untuk memperkukuh GRS, mengekalkan kestabilan politik serta memastikan pembangunan berterusan di Sabah.
Kedua-dua parti turut menegaskan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan UMNO/Barisan Nasional dalam apa jua bentuk kerjasama politik bagi pilihan raya akan datang.
Mesyuarat itu juga mengambil maklum kenyataan bermusuhan yang berulang kali dikeluarkan UMNO terhadap Kerajaan Negeri pimpinan GRS serta tindakan mereka yang sering memperlekehkan gabungan tempatan itu.
Pendirian konsisten ini mencerminkan komitmen kedua-dua parti untuk mempertahankan identiti dan integriti PBS, STAR dan GRS sebagai gabungan yang dipimpin parti-parti tempatan Sabah.
Walaupun memahami wujudnya kerjasama politik rasmi antara PH dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri, PBS dan STAR menegaskan bahawa GRS tidak pernah menjadi sebahagian daripada kerjasama rasmi tersebut.
Kedua-dua parti percaya bahawa keputusan politik berkaitan Sabah mesti mencerminkan mandat dan aspirasi rakyat tanpa pengaruh luar.
Kepercayaan rakyat Sabah terhadap GRS dibina atas prinsip berdikari, dan mengekalkan kepercayaan itu memerlukan sempadan jelas daripada pengaturan politik yang dibuat di luar negeri ini.
Mengenai agihan kerusi, PBS dan STAR menekankan pentingnya pendekatan adil serta saling menghormati dalam GRS. Walaupun GRS kini memiliki 41 kerusi, fokus gabungan itu mestilah mengekalkan dan menambah kekuatan tersebut.
PBS dan STAR turut menegaskan semula bahawa keputusan Majlis Tertinggi GRS supaya gabungan itu bertanding di 55 kerusi mesti dihormati, kerana sebarang pengurangan boleh menjejaskan keyakinan akar umbi.
Sehubungan itu, PBS dan STAR mencadangkan semua calon parti komponen GRS bertanding menggunakan logo GRS, kerana menghadapi pilihan raya sebagai satu pasukan adalah langkah paling tepat.
Kedua-dua parti percaya bahawa dengan menghormati peranan masing-masing, menegakkan prinsip bersama dan mengutamakan suara rakyat Sabah, GRS akan menjadi lebih kuat, bersatu serta lebih bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini.


































