Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah akan berjalan lancar berbanding sebelumnya selepas mengalami beberapa kelewatan akibat kelonggaran tatakelola pemberian kontrak.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sudah mengambil tindakan lebih tegas dan berani dengan menamatkan kontrak syarikat yang sebelum ini gagal menyiapkan fasa kerja seperti ditetapkan.
Katanya, ia termasuk syarikat yang sudah diberi penyambungan kontrak sebanyak dua atau tiga kali namun tetap gagal melaksanakan kerja-kerja pembinaan seperti dijanjikan.
“Ada yang disambung kontrak, ada dua kali, ada yang tiga kali. Saya sudah tamatkan supaya kita boleh kontrak semula dan insya-Allah berjaya untuk melihat dan menyaksikan perkembangan projek Pan Borneo lebih cepat. Saya yakin dengan cara tender lebih telus ini, projek ini boleh berjalan lebih baik.
“Saya terima teguran (kelewatan di Sabah). Tidak ada sebab projek sama, boleh siap 98 peratus di Sarawak dan kegagalannya banyak di Sabah. Sebab itu pendekatan harus lebih tegas berani dan telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN – Beluran) pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri menjelaskan, penetapan pelbagai syarat termasuk oleh kerajaan negeri yang mahu projek berkenaan dilaksana syarikat tempatan sebelum ini turut mendorong kepada kelewatannya.
“Saya kata mana-mana syarikat boleh buat termasuk syarikat besar dengan syarat mesti ada pengagihan projek kecil ke syarikat negeri. (kelewatan di) Sabah, kita warisi (sistem tender), ini bukan baharu.
“Sejak tujuh, lapan tahu lalu, bila projek diluluskan, negeri perketatkan syarat. Mesti melibatkan syarikat negeri dan kemudian pelaksanaannya sangat lemah dan banyak terpaksa dibatalkan,” katanya.


































