PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat laporan polis berhubung penerimaan satu bungkusan mencurigakan melalui sebuah syarikat kurier dengan menggunakan nama Pengerusinya sebagai penerima.
Menurut Utusan Malaysia, MCMC menerusi kenyataan memaklumkan, semakan awal bersama pihak kurier mendapati penghantar berkenaan menggunakan nama samaran serta nombor telefon tertentu sejak Jun lalu.
“Syarikat kurier itu turut merekodkan sebanyak 55 aduan terhadap individu sama melibatkan 18 kes penghantaran barangan yang tidak dipesan penerima dan 37 kes penghantaran tidak lengkap atau gagal diselesaikan,” kata kenyataan itu.
Menurut MCMC, bungkusan mencurigakan tersebut telah diminta supaya ditahan oleh pihak kurier bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan polis.
“MCMC memandang serius sebarang bentuk penghantaran yang boleh menimbulkan ancaman dan akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan awam serta integriti institusi terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, MCMC turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada sekiranya menerima bungkusan daripada sumber tidak dikenali atau tidak pernah dipesan.
“Sekiranya timbul sebarang keraguan, orang ramai disarankan untuk segera menghubungi pihak berkuasa atau syarikat kurier bagi mendapatkan pengesahan lanjut,” katanya.


































