Anwar Ibrahim berucap pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
KUALA LUMPUR: Institusi reformasi perlu dikaji secara menyeluruh dan bukan hanya berdasarkan keputusan mahkamah semata-mata.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya dalam usaha mencari keseimbangan antara kebebasan individu dengan prinsip asas negara, demi memastikan reformasi institusi tidak menjejaskan keharmonian.
“Institusi reformasi itu harus dikaji bersama, bukan keputusan mahkamah sahaja. Mahkamah beri pandangan dan kita akan teliti. Kalau selari dengan reformasi, ya.
“Maksudnya pandangan mengenai perhimpunan, saya ada masalah kerana raja-raja kata kebebasan mengadakan perhimpunan, dekat istana bagaimana? Jadi kita kena fikir,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Undang-undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan perkataan ‘jelik’ dan ‘menyakitkan hati’ dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai tidak berperlembagaan, yang kini sedang dipertimbang untuk dirayu oleh kerajaan.
Anwar berkata, kebebasan bersuara dan berhimpun mesti diimbangi dengan sensitiviti tertentu termasuk institusi diraja yang tidak wajar disentuh.
“Kadang kala dalam keghairahan menegakkan kebebasan, ia boleh menyinggung kawasan atau kedudukan yang kita anggap tidak sepatutnya diberi ruang, seperti pekarangan istana,” katanya.
































