Peserta konvoi menyerahkan Jalur Gemilang kepada salah seorang penjaja sayur di Kundasang.
KUNDASANG: Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Sabah 2025 hari ini singgah di pekan Kundasang menerusi program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) Kluster Komuniti dengan menyantuni komuniti peniaga sayur bumiputera di Pekan Kundasang.
Pengerusi Persatuan Pemborong dan Peruncit Sayur Bumiputera Kundasang, Matiana Taliban berkata, komuniti peniaga amat berbesar hati dengan kehadiran konvoi KMJG Sabah 2025 kerana sudi mengagihkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah kepada peniaga di sekitar kawasan berkenaan.
“Kami sebagai peniaga sangat gembira dan berterima kasih kepada agensi terlibat yang mengagihkan bendera pagi ini. Ini julung kali program seperti ini diadakan di Kundasang dan keceriaan gerai kami jelas bertambah dengan kibaran Jalur Gemilang,” katanya ketika ditemui media di sini pada pagi Selasa.
Beliau berkata program itu bukan sahaja menghidupkan suasana sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah, malah meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat setempat.
“Program sebegini amat kami harapkan dapat diteruskan setiap tahun kerana ia memberi impak besar kepada sambutan di peringkat komuniti,” tambahnya.
Matiana berkata, keunikan Kundasang sebagai destinasi pelancongan turut menyerlah apabila kibaran bendera di kawasan gerai sayur menjadi tarikan kepada pelancong luar.
“Setiap kali pelancong datang, mereka nampak identiti negara kita. Malah, ada yang memberi pujian kepada usaha kami mengibarkan bendera kerana menghormati sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.
Program singgahan itu menjadi platform penting bagi mendekatkan lagi masyarakat dengan semangat Malaysia Madani melalui kibaran Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan dan identiti negara.