Mandela menyaksikan upacara penyingkapan dan menandatangani plak WHO CC oleh Pengarah Bahagian Promosi Kesihatan, Pencegahan dan Kawalan Penyakit, WHO WPRO, Dr. Huong Thi Giang Tran dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Dr. Kasim Mohd. Mansur sempena Majlis Perasmian Pusat Kolaborasi WHO Bagi Malaria Zoonotik, BMHRC di Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan pembukaan Pusat Kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Malaria Zoonotik di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai satu pencapaian penting bagi Sabah.
“Pembukaan pusat ini mengiktiraf kepakaran dan sumbangan UMS dalam penyelidikan malaria, khususnya kajiannya mengenai Plasmodium knowlesi. Ia merupakan satu pencapaian yang bukan sahaja membawa pengiktirafan kepada UMS, tetapi juga kepada Sabah dan Malaysia,” katanya pada majlis perasmian di Galeri Majlis Bangunan Canselori UMS di sini hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, Malaysia telah mencatat kemajuan yang amat memberangsangkan dalam kawalan dan penghapusan malaria, termasuk berjaya memutuskan penularan tempatan parasit malaria manusia.
“Namun, Plasmodium knowlesi membawa cabaran yang berbeza. Penularannya melibatkan interaksi kompleks antara manusia, kera, nyamuk dan alam sekitar.
“Cabaran ini amat relevan kepada Sabah. Kekayaan biodiversiti serta interaksi rapat antara masyarakat, hidupan liar dan persekitaran hutan bermakna kita perlu melihat melangkaui pendekatan tradisional dalam kawalan malaria,” katanya.
Hajiji berkata, usaha menangani malaria zoonotik memerlukan pengawasan, penyelidikan dan kawalan vektor, di samping pemahaman mengenai hidupan liar dan perubahan alam sekitar.
“Paling penting, ia memerlukan kerjasama merentas sektor. Di sinilah pendekatan Satu Kesihatan atau One Health (satu rangka kerja bersepadu dan kolaboratif yang mengiktiraf saling kebergantungan antara kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan dan alam sekitar) amat penting.
“Sebagai Pro-Canselor UMS, saya berbangga bahawa penubuhan Pusat ini menghimpunkan kekuatan UMS, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta rakan kerjasama nasional dan antarabangsa.
“Kita mesti memastikan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal dan tindakan kesihatan awam, di samping melabur dalam pembangunan penyelidik muda dan profesional kesihatan yang akan meneruskan usaha ini pada masa hadapan,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan pooSabah memberikan sokongan padu kepada inisiatif yang memajukan penyelidikan, inovasi dan kerjasama antarabangsa.
“Pusat ini menunjukkan bagaimana sebuah institusi yang berpangkalan di Sabah mampu menyumbang kepada agenda kesihatan awam antarabangsa. Ia juga boleh membantu meletakkan Sabah sebagai platform serantau bagi kerjasama dalam malaria zoonotik dan pendekatan Satu Kesihatan.
“Pengalaman Sabah boleh menawarkan pengajaran kepada negara-negara yang berdepan cabaran sama, sebagaimana kita juga boleh belajar daripada rakan serantau dan antarabangsa. Pertukaran ilmu dan kepakaran ini akan memperkukuh kita semua,” katanya.
“Tahniah kepada UMS, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Pusat Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan Borneo atas pencapaian penting ini. Syabas dan tahniah!” katanya.






























