Berakar pada sejarah, bersatu dalam kepelbagaian, bangkit dengan pembaharuan
Bagi kebanyakan rakyat Sabah hari ini, politik bukan sekadar soal parti, jawatan atau pilihan raya. Ia tentang kehidupan seharian dan juga masa depan.
Tentang seorang ibu dan bapa yang mahu memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang baik. Tentang anak muda yang mahu mendapatkan pekerjaan yang baik tanpa terpaksa meninggalkan Sabah. Tentang keluarga yang mengharapkan kemudahan asas yang lebih baik, jalan raya yang selamat, bekalan air dan elektrik yang terjamin serta kos kehidupan yang mampu ditanggung, selain pelbagai cabaran dan peluang yang dibawa dalam era dunia AI dan perubahan yang berlaku di peringkat global yang memberi kesan kepada Sabah dan kehidupan rakyat.
Ia juga tentang satu persoalan yang lebih besar: apakah masa depan Sabah yang akan kita tinggalkan kepada generasi akan datang?
Dalam menghadapi persoalan-persoalan inilah sejarah politik Sabah menjadi penting. Bukan kerana kita mahu hidup di masa lalu, tetapi kerana pengalaman masa lalu membantu kita memahami siapa yang telah berjuang, apa yang telah dipertahankan dan apakah prinsip yang masih relevan untuk membawa Sabah ke masa depan yang lebih aman, makmur dan terjamin.
Sejarah Parti Bersatu Sabah (PBS) bukan sekadar sejarah sebuah parti politik. Ia merupakan sebahagian daripada perjalanan panjang rakyat Sabah dalam mencari keadilan, mempertahankan hak negeri dan membina kekuatan melalui kesatuan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya.
PBS ditubuhkan pada 5 Mac 1985, dalam suasana politik ketika rakyat Sabah mahukan perubahan. Ketika itu semakin kuat keinginan untuk melihat hak dan kepentingan Sabah dipertahankan serta pemimpin tempatan berani bangkit dan menyuarakan aspirasi rakyat.
Persoalan yang dihadapi Sabah ketika itu mungkin berbeza bentuknya daripada persoalan yang dihadapi rakyat hari ini. Namun satu perkara tidak berubah: rakyat mahu sebuah negeri yang mempunyai suara, maruah dan masa depan yang lebih baik.
Sebelum penubuhan PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan telah berhadapan dengan beberapa pertikaian politik berkaitan identiti dan kepentingan masyarakat Sabah. Antaranya ialah bantahan terhadap perubahan istilah Bumiputera kepada “Pribumi” serta perubahan Pesta Menuai kepada Pesta Rakyat.
Selepas kemenangan besar Pairin sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil Tambunan pada 29 Disember 1984, momentum politik tersebut akhirnya membawa kepada penubuhan PBS.
Hanya 47 hari selepas didaftarkan, PBS memenangi 25 daripada 48 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 1985 dan membentuk kerajaan. Setahun kemudian, dalam PRN 1986, PBS memperkukuh mandat dengan memenangi 34 kerusi, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga.
Kekuatan PBS ketika itu bukan semata-mata terletak kepada seorang pemimpin atau sebuah organisasi politik. Kekuatan sebenarnya datang daripada kesatuan rakyat Sabah.
Dan hakikat itu mempunyai makna yang besar untuk Sabah hari ini.
Dalam sebuah negeri yang masyarakatnya begitu pelbagai, masa depan tidak boleh dibina dengan memecah-belahkan rakyat. Ia hanya boleh dibina apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang merasakan bahawa mereka mempunyai tempat, suara dan kepentingan bersama dalam perjalanan negeri ini.
PBS: Sebuah parti lokal untuk semua
Satu perkara penting yang perlu difahami oleh generasi hari ini ialah PBS sejak awal tidak dibina untuk satu kaum sahaja. PBS adalah sebuah parti berbilang kaum.
Semangat tersebut bukan sekadar slogan, tetapi diterjemahkan dalam struktur kepimpinan parti melalui tiga Timbalan Presiden yang mewakili kelompok utama masyarakat Sabah iaitu KDM, Cina dan Melayu/Bumiputera Islam, yang turut dicerminkan melalui identiti warna biru, merah dan kuning.
Prinsip keseimbangan turut diterapkan dalam barisan Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi serta struktur kepimpinan Pemuda dan Wanita. Matlamatnya adalah supaya kepimpinan PBS mencerminkan wajah sebenar masyarakat Sabah yang berbilang kaum, agama dan budaya.
Ini memperlihatkan bahawa pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama barisan pengasas dan kepimpinan awal parti, sudah melihat keterangkuman dan kepelbagaian sebagai asas penting dalam membina sebuah parti tempatan Sabah.
Pada tahun 1989, Pairin menegaskan bahawa antara objektif utama PBS sejak awal ialah menggalakkan perpaduan masyarakat berbilang kaum tanpa mengira asal-usul dan latar belakang. Beliau turut menegaskan bahawa semua kumpulan etnik perlu dihargai dan dilindungi kerana Sabah tidak akan maju sekiranya rakyatnya berpecah-belah.
Prinsipnya mudah tetapi besar maknanya: Sabah tidak boleh dibina oleh satu kaum sahaja. Sabah hanya boleh maju apabila seluruh rakyatnya bergerak bersama.
Inilah juga yang menjadi asas kepada rasa selamat dan keyakinan dalam sebuah masyarakat.
Seorang rakyat Sabah tidak sepatutnya perlu bertanya sama ada masa depannya terjamin kerana bangsa atau agamanya. Yang sepatutnya diyakini ialah bahawa Sabah ialah rumah bersama dan setiap rakyat mempunyai tempat di dalamnya.
Tujuan dan matlamat: DNA perjuangan PBS
Semangat tersebut jelas dalam tujuan dan matlamat PBS sejak penubuhannya.
PBS berjuang untuk mempertahankan demokrasi berparlimen dan martabat manusia; memupuk muhibah, keamanan, kemajuan, keharmonian dan perpaduan semua kaum; mempertahankan hak serta kepentingan Sabah dalam Persekutuan Malaysia; melindungi hak dan keistimewaan Bumiputera sambil menjamin kepentingan saksama setiap warganegara lain di Sabah; mempertahankan adat, tradisi dan budaya; menjunjung kebebasan beragama, Rukun Negara serta kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Pada masa sama, PBS mengiktiraf kepentingan bekerjasama dengan parti politik lain yang mempunyai matlamat selaras bagi menjamin keadilan, kestabilan dan keharmonian masyarakat.
Inilah keseimbangan yang menjadi DNA asal PBS.
Dan keseimbangan itu masih mempunyai makna kepada rakyat Sabah hari ini.
Mempertahankan Sabah bukan sekadar mempertahankan satu slogan politik. Ia bermakna memastikan Sabah mempunyai ruang dan kuasa yang mencukupi untuk menentukan keutamaan pembangunannya sendiri supaya persoalan pekerjaan, pendidikan, infrastruktur, ekonomi, kebajikan dan peluang generasi akan datang dapat diberikan perhatian yang sewajarnya.
Mempertahankan Sabah tidak bermaksud memisahkan Sabah daripada Malaysia.
Mempertahankan Bumiputera tidak bermaksud menafikan hak masyarakat lain.
Mempertahankan agama tidak bermaksud mengorbankan kebebasan beragama.
Dan menjadi sebuah parti lokal tidak bermaksud menolak kerjasama politik yang memberikan manfaat kepada Sabah.
Ringkasnya, perjuangan PBS adalah untuk sebuah negeri Sabah yang kuat dalam sebuah Malaysia yang adil dan saksama.
Zaman kegemilangan: Kuasa kesatuan rakyat Sabah
Kemenangan PBS pada tahun 1985 dan 1986 membuktikan apa yang mampu dicapai apabila rakyat Sabah bersatu.
Selepas membentuk kerajaan, antara tindakan awal pentadbiran PBS ialah memulihkan status daerah Tambunan, mengembalikan penggunaan istilah Bumiputera bagi masyarakat etnik Sabah serta mengembalikan Pesta Menuai sebagai perayaan tradisi masyarakat KDM.
Namun perjuangan PBS tidak terhad kepada soal identiti dan budaya.
Pada Januari 1987, PBS telah membangkitkan persoalan 20 Perkara dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta menegaskan bahawa pelaksanaan dasar nasional di Sabah perlu mengambil kira hak negeri sebagaimana terkandung dalam kerangka pembentukan Malaysia.
Perjuangan tersebut turut merangkumi isu hak Sabah, royalti minyak, hubungan Negeri–Persekutuan serta persoalan Labuan. Catatan sejarah PBS menunjukkan bahawa perkara-perkara tersebut menjadi antara isu politik yang diperjuangkan parti pada awal 1990-an.
PBS juga konsisten membangkitkan isu Pendatang Tanpa Izin (PTI). Seawal 1985, Pairin sebagai Ketua Menteri telah menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan PTI dan implikasinya terhadap Sabah.
Pada 1990, kerajaan PBS mencadangkan sebuah jawatankuasa khas Negeri–Persekutuan bagi menangani masalah tersebut dan turut mendesak supaya sistem pendaftaran pengundi diperketatkan.
Apabila MA63 dan hak Sabah menjadi antara agenda besar politik hari ini, generasi baharu perlu mengetahui bahawa sebahagian daripada persoalan ini telah diperjuangkan PBS sejak beberapa dekad lalu.
Tetapi sejarah hanya akan mempunyai nilai jika ia membantu kita memahami masa depan.
Bagi rakyat biasa, hak Sabah bukanlah isu yang terpisah daripada kehidupan mereka. Ia berkait dengan kemampuan negeri untuk mendapatkan sumber dan kuasa yang diperlukan bagi membina sekolah, hospital, jalan raya, peluang ekonomi dan pekerjaan; dengan kemampuan anak-anak Sabah untuk melihat masa depan di negeri sendiri; dan dengan keyakinan bahawa kepentingan Sabah sentiasa mempunyai tempat yang sewajarnya dalam Persekutuan.
Hak negeri akhirnya mesti diterjemahkan menjadi manfaat yang dirasai rakyat.
Zaman kejatuhan: Diuji tetapi tidak hilang
Perjalanan PBS bagaimanapun tidak sentiasa berada di puncak.
Tahun 1994 menjadi antara titik paling getir dalam sejarah parti. PBS melalui krisis politik, peralihan kesetiaan wakil rakyat dan akhirnya kehilangan kerajaan.
Selepas itu, parti berhadapan dengan perjalanan yang panjang dan mencabar. PBS kehilangan sebahagian pemimpin, melalui perpecahan dan terpaksa membina semula kekuatan dari kedudukan yang jauh berbeza berbanding zaman kegemilangannya.
Isu PTI, kewarganegaraan dan perubahan demografi Sabah pula terus menjadi perdebatan politik selama bertahun-tahun. Buku sejarah PBS merekodkan bahawa pada 2015 kepimpinan parti kembali membangkitkan isu yang dikenali sebagai “Projek IC”, di samping memberikan perhatian kepada hasil Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai PTI di Sabah.
Namun di sebalik segala cabaran itu, satu perkara penting berlaku: PBS terus bertahan.
PBS pernah menjadi kerajaan. PBS kemudian kehilangan kerajaan. PBS kehilangan ramai pemimpin dan melalui pelbagai cabaran.
Tetapi PBS tidak mati.
Parti ini terus berdiri kerana di akar umbi masih terdapat ahli dan penyokong yang percaya bahawa perjuangan mempertahankan kepentingan Sabah mesti diteruskan.
Kerajaan boleh hilang. Jawatan boleh hilang. Pemimpin boleh datang dan pergi. Tetapi perjuangan yang mempunyai asas tidak semestinya berakhir apabila kuasa hilang.
Bagi sebuah parti yang telah melalui jatuh bangun selama beberapa dekad, pengalaman ini juga membawa satu pengajaran kepada generasi hari ini: politik bukan sekadar tentang kemenangan. Ia tentang ketahanan, prinsip dan kemampuan untuk terus berkhidmat apabila keadaan berubah.
Zaman kebangkitan: Membina semula kekuatan
Selepas melalui zaman kejatuhan, PBS mengambil jalan panjang untuk membina semula kekuatannya dan menyesuaikan pendekatan dengan perubahan landskap politik Sabah.
Selepas lebih tiga dekad menerajui parti, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyerahkan kepimpinan kepada Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili pada 17 November 2018, sekali gus membuka era kepimpinan kedua PBS.
Walaupun pendekatan politik berubah mengikut keadaan, perjuangan mengenai hak Sabah dan MA63 terus menjadi sebahagian daripada identiti PBS.
Pengalaman tersebut memberikan satu pengajaran penting.
Mempertahankan hak Sabah memerlukan keberanian untuk bersuara, tetapi pada masa yang sama memerlukan kebijaksanaan untuk berunding, membina kerjasama dan menjamin kestabilan politik.
Ini penting kerana rakyat biasa tidak mahu melihat politik yang sentiasa bergaduh tetapi kehidupan mereka tidak berubah.
Mereka mahu kestabilan yang membolehkan ekonomi berkembang, pekerjaan diwujudkan, pembangunan diteruskan dan kerajaan memberi tumpuan kepada masalah sebenar yang mereka hadapi.
Perjuangan parti lokal tidak semestinya bermaksud bermusuhan dengan Kerajaan Persekutuan. Sebaliknya, kekuatan politik tempatan membolehkan Sabah mempunyai suara yang lebih jelas dan kedudukan yang lebih dihormati dalam Persekutuan Malaysia.
Berani bersuara. Bijak berunding. Stabil dalam mentadbir.
Ketiga-tiganya perlu bergerak bersama jika perjuangan politik akhirnya mahu diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik.
Zaman pembaharuan: Kesatuan, Kestabilan, Integriti

Dr Joachim Gunsalam
Kini PBS berada di ambang satu lagi fasa penting apabila Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam membawa parti menuju generasi kepimpinan seterusnya.
Peralihan ini tidak seharusnya dilihat sebagai pertukaran Presiden semata-mata. Ia perlu menjadi permulaan kepada zaman pembaharuan PBS.
Pembaharuan tersebut berpaksikan tiga prinsip kepimpinan yang diketengahkan oleh Dr Joachim:
Kesatuan
PBS perlu terus memperkukuh identitinya sebagai sebuah parti berbilang kaum.
KDM, Cina, Melayu/Bumiputera Islam dan seluruh masyarakat Sabah mesti terus mempunyai tempat dalam rumah politik PBS.
Kesatuan juga bermaksud ahli dan pemimpin perlu mengutamakan perjuangan bersama mengatasi perbezaan, kelompok dan kepentingan peribadi.
Kepelbagaian tidak harus memisahkan PBS. Kepelbagaian mesti menjadi kekuatan yang menyatukan PBS.
Dan kesatuan bukan sekadar penting untuk sebuah parti.
Ia penting untuk Sabah.
Negeri yang berpecah akan mudah kehilangan fokus. Negeri yang bersatu lebih mampu memperjuangkan kepentingannya, menarik pelaburan, membina ekonomi dan merancang masa depan dengan lebih yakin.
Kestabilan
Sabah memerlukan kestabilan politik untuk membangun.
Kestabilan membolehkan dasar dan pembangunan dilaksanakan secara berterusan, meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur dan membolehkan kerajaan memberikan tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat.
Bagi keluarga biasa, kestabilan bukan istilah politik yang abstrak.
Ia bermaksud anak mereka boleh merancang masa depan. Perniagaan kecil boleh berkembang. Pelaburan boleh masuk. Projek pembangunan boleh diteruskan. Kerajaan boleh memberi tumpuan kepada sekolah, hospital, jalan raya, air, elektrik dan peluang pekerjaan.
PBS perlu terus menjadi sebuah parti yang matang, konsisten dan bertanggungjawab dalam menyumbang kepada kestabilan politik Sabah.
Integriti
Politik masa hadapan mesti dibina atas kepercayaan.
Pemimpin perlu amanah, telus, bertanggungjawab dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.
Rakyat hari ini lebih kritikal. Mereka bukan hanya mahu mendengar apa yang pemimpin katakan. Mereka mahu melihat apa yang pemimpin lakukan.
Tanpa integriti, tidak akan ada kepercayaan.
Tanpa kepercayaan, sesebuah parti akan semakin jauh daripada rakyat.
Justeru, Unity, Stability dan Integrity bukan sekadar slogan. Ketiga-tiganya perlu menjadi kompas kepada kepimpinan dan pembaharuan PBS.
Muka baharu dan pemimpin pelapis
Pembaharuan bagaimanapun tidak boleh berhenti pada slogan.
PBS perlu berani melakukan regenerasi kepimpinan.
Lebih ramai muka baharu dan pemimpin pelapis perlu dikenal pasti, dibimbing dan diberikan peluang sebenar untuk memimpin. Anak muda, wanita, profesional serta pemimpin akar umbi yang mempunyai kemampuan, integriti dan rekod khidmat perlu diberikan ruang dalam struktur parti.
Ini penting kerana masa depan Sabah bukan milik generasi hari ini sahaja.
Ia terutama sekali milik anak-anak muda Sabah yang sedang membesar dan bertanya apakah yang menanti mereka selepas tamat belajar.
Adakah mereka akan mendapat pekerjaan yang baik?
Adakah mereka perlu berhijrah untuk mencari kehidupan yang lebih baik?
Adakah mereka boleh membina keluarga dan kehidupan yang selesa di negeri sendiri?
Persoalan-persoalan inilah yang mesti menjadi sebahagian daripada agenda politik generasi baharu.
Ini bukan bermaksud mengetepikan pemimpin berpengalaman.
Sebaliknya, pengalaman generasi terdahulu perlu digabungkan dengan tenaga, kreativiti dan pemikiran generasi baharu.
Yang berpengalaman membimbing.
Yang muda dan baharu diberikan peluang.
Sebuah parti yang gagal melahirkan pelapis akhirnya akan kehilangan kesinambungan. Sebaliknya, parti yang berani menyediakan generasi kepimpinan seterusnya akan sentiasa mempunyai masa depan.
PBS mesti bergerak bersama teknologi
Pembaharuan juga perlu berlaku dalam cara PBS berorganisasi, berkomunikasi dan berkempen.
Politik hari ini bukan lagi politik tahun 1985.
Generasi baharu mendapatkan berita melalui telefon pintar. Mereka berkomunikasi dan membentuk pandangan melalui TikTok, Facebook, Instagram, WhatsApp dan pelbagai platform digital.
Oleh itu, pemimpin PBS perlu peka terhadap perkembangan teknologi semasa dan aktif di media sosial.
Media sosial tidak seharusnya hanya digunakan apabila pilihan raya semakin hampir. Ia perlu menjadi saluran berterusan untuk mendengar suara rakyat, menerangkan dasar dan perjuangan, menjawab isu, berkongsi khidmat kepada masyarakat serta berkomunikasi secara langsung dengan generasi muda.
Teknologi dan data juga perlu digunakan untuk memperkukuh pengurusan keahlian, komunikasi antara cawangan dan bahagian, latihan kepimpinan serta strategi kempen.
Prinsip perjuangan boleh kekal, tetapi cara menyampaikan perjuangan mesti berubah mengikut zaman.
Muka baharu. Pemimpin pelapis. Idea baharu. Teknologi baharu. Komunikasi baharu. Pendekatan kempen baharu.
Prinsip kekal. Pendekatan berubah.
PBS bukan sekadar sejarah — PBS adalah sebuah idea
Cabaran terbesar PBS hari ini bukan untuk membuktikan bahawa parti ini mempunyai sejarah.
Sejarah itu sudah ada.
Cabaran sebenarnya ialah membuktikan bahawa PBS masih mempunyai masa depan.
Generasi muda tidak seharusnya mengenali PBS hanya sebagai sebuah parti yang pernah memerintah Sabah pada era 1980-an dan 1990-an.
Mereka perlu memahami bahawa PBS membawa sebuah idea yang masih relevan, bahawa rakyat Sabah daripada pelbagai kaum dan agama boleh berada dalam satu rumah politik; bahawa kepelbagaian adalah kekuatan; bahawa hak Sabah boleh dipertahankan tanpa menolak Malaysia; dan bahawa politik boleh dibina berasaskan kesatuan, kestabilan serta integriti.
Tetapi relevan pada hari ini bermakna lebih daripada mempertahankan prinsip.
Ia bermakna menjawab kebimbangan rakyat.
Bagaimana kita memastikan ekonomi Sabah menghasilkan lebih banyak pekerjaan berkualiti?
Bagaimana kita memastikan anak-anak Sabah mempunyai peluang untuk berjaya di negeri sendiri?
Bagaimana kita memperbaiki kemudahan asas dan kualiti hidup?
Bagaimana kita memastikan suara Sabah lebih kuat dalam Persekutuan?
Dan bagaimana kita memastikan politik tidak sekadar menghasilkan kerajaan, tetapi menghasilkan kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang lebih selamat untuk rakyat?
Inilah ukuran sebenar kepada mana-mana perjuangan politik.
Perjalanan PBS kini merentasi tiga generasi kepimpinan.
Generasi Tan Sri Joseph Pairin Kitingan membina PBS dan meletakkan asas perjuangan.
Generasi Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili mempertahankan kesinambungan perjuangan.
Generasi Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam kini mempunyai tanggungjawab membawa PBS memasuki zaman pembaharuan.
Setiap generasi mempunyai tugasnya sendiri.
Generasi terdahulu mempertahankan apa yang dianggap penting untuk Sabah pada zamannya.
Generasi hari ini pula mesti memastikan perjuangan tersebut mampu menjawab cabaran kehidupan rakyat pada zaman mereka.
Mencipta kegemilangan baharu bersama GRS
PBS pernah berada di puncak.
PBS pernah jatuh.
PBS pernah kehilangan kuasa dan melalui pelbagai cabaran.
Namun selepas lebih empat dekad, PBS masih berdiri.
Kini cabaran sebenar bukan sekadar me seemastikan PBS terus wujud.
Cabarannya ialah memastikan PBS kembali kuat, relevan dan diyakini oleh generasi baharu.
Kerana pada akhirnya, rakyat tidak memerlukan sebuah parti hanya untuk mengingati sejarahnya.
Rakyat memerlukan keyakinan bahawa ada kekuatan politik yang mampu membantu mereka menghadapi masa depan.
Justeru, zaman pembaharuan mesti membawa perubahan dalam kepimpinan, organisasi, komunikasi dan pendekatan politik. Muka baharu mesti diberikan ruang. Pemimpin pelapis mesti dipersiapkan. Teknologi dan media sosial mesti dikuasai. Politik mesti kembali dekat dengan kehidupan dan aspirasi rakyat.
Namun dalam segala pembaharuan itu, roh perjuangan asal PBS tidak boleh berubah, menyatukan rakyat Sabah, mempertahankan hak dan kepentingan negeri serta memastikan Sabah mendapat keadilan yang saksama dalam Persekutuan Malaysia.
Dan perjuangan itu kini diteruskan di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
PBS harus menggunakan kekuatan sejarah, pengalaman dan jaringan akar umbinya untuk bersama-sama parti tempatan dalam GRS membina sebuah Sabah yang lebih kuat.
Kerjasama ini harus memperkasakan suara politik tempatan dan memastikan kepentingan Sabah terus menjadi keutamaan dalam pembangunan negeri serta hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.
Perjuangan parti tempatan untuk rakyat tempatan bukan bermaksud Sabah mengasingkan diri atau menolak kerjasama dengan Persekutuan.
Sebaliknya, ia membawa pengertian bahawa mereka yang paling dekat dengan rakyat Sabah perlu mempunyai suara yang kuat dalam menentukan keutamaan, pembangunan dan masa depan negeri sendiri.
Sabah memerlukan politik tempatan yang matang; politik yang mampu mempertahankan hak negeri sambil membina hubungan Persekutuan–Negeri yang konstruktif; politik yang berani bersuara tetapi tahu berunding; dan politik yang menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat akhirnya.
Kerana bagi rakyat biasa, kejayaan politik akhirnya bukan diukur hanya melalui berapa banyak kerusi yang dimenangi.
Ia diukur melalui sama ada kehidupan menjadi lebih baik.
Sama ada anak-anak mempunyai lebih banyak peluang.
Sama ada keluarga mempunyai kehidupan yang lebih selamat.
Sama ada ekonomi negeri memberi harapan.
Sama ada Sabah mempunyai suara yang lebih kuat.
Dan sama ada generasi akan datang boleh melihat Sabah bukan sebagai negeri yang terpaksa mengejar masa depan, tetapi sebagai negeri yang mempunyai keyakinan dan kekuatan untuk menciptanya sendiri.
Di sinilah PBS mempunyai peranan untuk dimainkan.
Kita menghormati sejarah, tetapi kita tidak boleh hidup dengan sejarah semata-mata.
Kita mesti mencipta sejarah yang seterusnya.
Jika generasi Pairin membina PBS, generasi Maximus mempertahankan kesinambungannya, maka generasi Dr Joachim perlu membawa pembaharuan dan mencipta kegemilangan baharu PBS di dalam Gabungan Rakyat Sabah.
Berpandukan Unity, Stability dan Integrity, diperkuat dengan muka baharu dan pemimpin pelapis serta dipacu oleh teknologi dan pendekatan politik yang lebih dekat dengan generasi hari ini, PBS mempunyai peluang untuk sekali lagi menjadi kekuatan penting dalam menentukan masa depan Sabah.
Bukan sekadar untuk mempertahankan sebuah parti.
Tetapi untuk mempertahankan keyakinan bahawa Sabah boleh menjadi lebih baik.
Bahawa anak-anak Sabah boleh mempunyai masa depan di negeri sendiri.
Bahawa kepelbagaian boleh menjadi kekuatan, bukan perpecahan.
Bahawa hak Sabah boleh dipertahankan dengan keberanian dan kebijaksanaan.
Dan bahawa politik boleh menjadi alat untuk memberikan rakyat kehidupan yang lebih aman, stabil dan bermaruah.
Berakar pada sejarah.
Bersatu dalam kepelbagaian.
Berintegriti dalam kepimpinan.
Berani berubah untuk generasi baharu.
PBS — mencipta kegemilangan baharu bersama Gabungan Rakyat Sabah.

Oleh Dr Bonaventure Boniface
Ketua Penerangan PBS






























