Dr. Rosmawati Haji Lasuki
KOTA KINABALU: BIGSABAH Sale 2026 menyasarkan lebih 100,000 pengunjung apabila kembali berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November depan.
Menampilkan lebih 600 reruai, penganjuran kali ini bukan sekadar acara membeli-belah, sebaliknya diperkasakan sebagai platform perdagangan serantau yang menghubungkan usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembeli, pelabur serta jenama dari Sabah dan rantau ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif SICC yang juga Pengerusi Penganjur BIGSABAH Sale 2026, Datuk Dr. Rosmawati Haji Lasuki berkata, penganjuran bertemakan “Across Markets, Beyond Borders” itu memberi penekanan kepada usaha memperluaskan akses pasaran dan hubungan perniagaan Sabah, khususnya dengan Brunei, Indonesia dan Filipina.
“Matlamat kita bukan semata-mata mahu menarik jumlah pengunjung lebih besar, tetapi mencipta nilai lebih tinggi melalui platform yang telah dibangunkan.
“Kejayaan sesebuah pameran bukan hanya diukur berdasarkan jumlah pengunjung, tetapi perniagaan yang dijana, hubungan yang diwujudkan dan peluang yang berterusan selepas pameran berakhir,” katanya pada sidang media BIGSABAH Sale 2026, di sini, hari ini.
Rosmawati berkata, kejayaan BIGSABAH Sale 2025 yang menarik 80,615 pengunjung dengan 650 reruai menjadi asas untuk memperkukuhkan lagi penganjuran tahun ini.
Katanya, selain mengekalkan konsep Business-to-Consumer (B2C), BIGSABAH Sale 2026 akan memberi penekanan lebih besar kepada Business-to-Business (B2B) menerusi program pemadanan perniagaan dan aktiviti berorientasikan perdagangan.
Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan peserta bertemu pembeli berpotensi, pengedar, peruncit, pengimport, pelabur dan rakan strategik bagi membuka peluang pasaran baharu.
“B2C memberikan pelanggan kepada perniagaan, tetapi B2B boleh membuka pasaran. Satu hubungan perniagaan yang bermakna kadangkala mempunyai nilai jauh lebih besar daripada tiga hari jualan runcit,” katanya.
Beliau berkata, kedudukan strategik Sabah dalam ASEAN Timur memberi kelebihan kepada BIGSABAH Sale untuk berkembang sebagai platform yang membantu produk dan PKS tempatan menembusi pasaran serantau.
Pada masa sama, penganjuran acara itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, peruncitan serta perkhidmatan tempatan.
Sabah merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat pada 2025, meningkat 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 2,556,823 ketibaan pelawat direkodkan, termasuk 1,100,546 pelawat antarabangsa.
Antara tarikan BIGSABAH Sale 2026 ialah Big Bad Wolf Book Fair, AI Business Scale-Up Bootcamp, CULT – Car Culture Festival 2026, Agro Forum and Trade Connect, pertunjukan fesyen, pertandingan e-sukan dan bakat, selain pelbagai bengkel serta program untuk usahawan, profesional, belia dan keluarga.
Rosmawati berkata, sasaran jangka panjang adalah untuk membangunkan BIGSABAH Sale sebagai pasaran perdagangan dan pengguna utama di ASEAN Timur.
“Kita mahu perniagaan akhirnya berkata, ‘Kami perlu berada di BIGSABAH Sale kerana di sinilah kami bertemu pasaran’.
“Lebih besar mesti membawa impak lebih besar, lebih banyak peluang kepada PKS, penyertaan serantau lebih kukuh, lebih banyak produk Sabah memasuki pasaran baharu dan lebih banyak aktiviti ekonomi untuk negeri ini,” katanya.
































