Masiung Banah
KOTA KINABALU: Sabah dijangka layak memperoleh tambahan sehingga 13 kerusi Parlimen berdasarkan nisbah bagi mengimbangi satu pertiga wakil bagi Sabah dan Sarawak.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, jumlah itu perlu dibincangkan di peringkat Kabinet negeri sebelum dilaksanakan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau menjangkakan turut berlaku pertambahan kerusi DUN bagi mengimbangi jumlah kawasan Parlimen baharu yang bakal diwujudkan.
Masiung berkata, jika Sabah mendapat pertambahan 13 kerusi Parlimen, jumlah keseluruhan akan meningkat kepada 38 berbanding 25 kerusi ketika ini.
“Suara etnik minoriti jauh terpinggir di kawasan luar bandar memerlukan wakil seimbang sesuai perkembangan kemajuan negara.
“Jangkaan itu dilihat relevan bagi memastikan peruntukan pembangunan negeri dan Parlimen dapat diagih secara lebih mikro,” katanya.
Masiung ditemui media selepas hadir menyaksikan upacara menandatangani perjanjian antara Sedco Commanation Sdn. Bhd. (Scomm) dan tiga syarikat swasta, di sini, tengah hari ini.
Beliau berkata, Sabah ketika ini mempunyai 73 kawasan DUN dan dijangka berlaku pertambahan antara 25 hingga 28 kerusi baharu.
Menurutnya, faktor geografi kedua-dua negeri di wilayah Borneo yang meliputi kawasan terpencil di Pedalaman menuntut tambahan perwakilan yang lebih representatif dan setara.
Katanya, tumpuan harus diberikan kepada Sabah yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia, termasuk daerah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.
ADUN Kuamut itu menjangkakan pertambahan kerusi DUN dan Parlimen lebih banyak tertumpu di kawasan Pantai Timur dan Pedalaman Atas.
Mengulas lanjut, Masiung berkata, Tongod direkodkan sebagai daerah paling luas di negeri ini, diikuti Kinabatangan, Lahad Datu, Ranau, Beluran, Pensiangan dan Pedalaman Atas.
Beliau berkata, kawasan berkenaan berpotensi menyaksikan tambahan kerusi baharu bagi DUN dan Parlimen.
Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan tambahan wakil Parlimen Sabah dan Sarawak, selaras dengan dasar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada majlis itu, Scomm menandatangani perjanjian kerjasama telekomunikasi antara Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu, ITTC Penampang, Hyatt Regency dan U Mobile, Kota Kinabalu.
































