Julita (lima dari kiri) dan Joniston (enam dari kiri) bersama tetamu kehormat lain menyertai acara memotong kek sempena AGM Bahagian Kiulu ke-40 kelmarin.
KIULU: Parti tempatan paling lama bertahan di Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), menempatkan dirinya sebagai pemangkin kepada pembaharuan dan ketahanan parti berasaskan tempatan di negeri ini, berlandaskan kekuatan hubungan akrabnya dengan rakyat di akar umbi.
Ketua Penerangan PBS merangkap Ketua Bahagian Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, ketahanan parti itu di kawasan berkenaan sejak 1985 (PBS tidak pernah tewas di Kiulu sejak 1985) membuktikan bahawa rakyat terus mempercayai prinsip perjuangan berteraskan parti tempatan.
“Sebagai parti politik tempatan paling lama bertahan di Sabah, PBS di bahagian Kiulu berhasrat untuk mencetuskan ‘kebangkitan’ dominasi parti-parti tempatan di Sabah,” katanya sambil menegaskan bahawa sejarah panjang parti membuktikan PBS masih relevan pada hari ini tanpa hanya bergantung kepada kejayaan lampau.

Berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS Bahagian Kiulu ke-40 kelmarin, Joniston berkata, legasi PBS adalah peringatan kepada semua ahli dan penyokong agar sentiasa seiring dengan perubahan zaman, mendengar suara rakyat, dan kekal berpijak di atas landasan perjuangan parti.
Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki merasmikan mesyuarat berkenaan mewakili Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Turut hadir, Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Jahid Jahim dan Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kiulu, Datuk Janih Bangud serta Ketua Bahagian STAR, Terrence Sinti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu turut mengimbas kenyataan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, yang pernah menyamakan sokongan padu rakyat di akar umbi Kiulu sebagai “Kiulu Charge” — semangat yang katanya kini perlu diperkaya dengan idea-idea baharu serta keterangkuman yang lebih luas.
Walaupun beliau bercakap dari perspektif Kiulu, katanya semangat yang dibawa di kawasan itu turut mencerminkan intipati perjuangan PBS di seluruh Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan PBS dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih daripada sekadar rakan gabungan.
“Dalam mana-mana gabungan, kekuatan sebenar terletak pada kestabilan dan keharmonian. Sebagai rakan utama dalam GRS, sumbangan PBS sentiasa berteraskan usaha menjaga kestabilan dan keharmonian dalam gabungan ini.
“Tetapi jangan salah faham. Kesetiaan tidak bererti menjadi ‘yes boss’.
“Di Kiulu dan di seluruh Sabah, semangat daya juang kita tetap sama, dan bagi yang benar-benar memahami PBS, mereka tahu kesetiaan kita bukan membuta tuli, sebaliknya dibina atas penghormatan yang diperoleh,” katanya.
Mengulas hala tuju parti, Joniston berkata, komitmen PBS adalah memastikan suara tempatan terus menjadi teras dalam proses membuat keputusan, khususnya ketika Sabah melalui transformasi ekonomi, sosial dan politik.


































