Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa menumpaskan kegiatan tidak bermoral membabitkan empat kanak-kanak berusia 12 tahun yang menjual gambar badan sendiri menerusi aplikasi WhatsApp.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ada antara kanak-kanak terbabit sanggup berhenti sekolah kerana pendapatan melebihi gaji ibu bapa selepas menjual bahan lucah itu.
Katanya, bahan itu melibatkan gambar bahagian tubuh-tubuh sekumpulan kanak-kanak perempuan itu yang kemudian dijual.
“Tahun ini, kita bongkar, kita tumpaskan pula geng budak sekolah. Itu tentu dengan kerjasama kementerian berkaitan. Umur baru 12 tahun, pakat dengan kawan-kawan empat orang, group WhatsApp dia 762 orang.
“Dalam melaksanakan penguatkuasaan, apabila kita jumpa kes seperti ini, sudah tentu kita tetap kena dapatkan pandangan daripada pelbagai agensi lain. Itu cara modus operandi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai kerjasama Kementerian Dalam Negeri dengan kementerian lain dalam menangani jenayah seksual secara atas talian.
Tambah Saifuddin, kes seumpama itu mencabar pihak berkuasa kerana membabitkan kanak-kanak dan memerlukan pendekatan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Kalau kita nak ambil tindakan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan kata mereka ini kanak-kanak, tidak boleh dibawa ke mahkamah terbuka. Jadi bagaimana masa depan mereka?” ujarnya.
Mengulas lanjut, kes membabitkan individu bawah umur boleh dikenakan hukuman mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan, Seksyen 233(1A) Akta SKMM, Akta Penapisan Filem, Enakmen Syariah negeri serta Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017.
“Akta dan penguatkuasaan hanya satu bab. Paling asas ialah menanam nilai murni dalam institusi keluarga dan masyarakat supaya kesedaran dapat diwujudkan dalam komuniti kita,” katanya.






























