NEW YORK: Bandar raya ini berdepan wabak penyakit Legionnaires’ di kawasan Central Harlem dengan lebih 100 kes disahkan dan empat kematian dilaporkan setakat ini.
Menurut Utusan Malaysia, Jabatan Kesihatan Bandaraya New York dalam kenyataan memaklumkan, punca wabak dipercayai berasal daripada sistem penyejuk bangunan yang tercemar dengan bakteria Legionella iaitu sejenis bakteria yang boleh tersebar melalui wap air dari sistem penyejukan.
Setakat Ahad lepas, pihak berkuasa kesihatan mengesahkan sebanyak 101 kes positif direkodkan dengan 17 pesakit masih dirawat di hospital dan empat kematian dicatatkan disebabkan komplikasi penyakit.
Ujian terhadap 12 sistem penyejuk termasuk di Hospital Harlem dan beberapa bangunan kerajaan mendapati kehadiran bakteria Legionella.
Datuk Bandar New York, Eric Adams, mengesahkan sebanyak 11 daripada 12 menara penyejuk sudah dinyahcemar dengan satu lagi selesai proses pembersihan pada Isnin.
Beliau memberi jaminan sistem paip air bangunan tidak terjejas, dan penduduk boleh terus minum, mandi dan memasak seperti biasa.
Penyakit Legionnaires’ adalah sejenis radang paru-paru (pneumonia) yang disebabkan oleh bakteria Legionella.
Kebanyakan gejala seperti mengalami batuk, demam, sakit otot dan sesak nafas.
Penyakit ini tidak berjangkit dari manusia ke manusia, tetapi boleh dijangkiti melalui penyedutan wap air tercemar.
Golongan warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun lemah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi serius.
Pemangku Pesuruhjaya Kesihatan, Dr Michelle Morse, berkata kadar kes baharu kini menunjukkan penurunan, menandakan bahawa sumber jangkitan sudah mula dikawal.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan terlibat segera mendapatkan rawatan jika mengalami simptom seperti demam atau batuk.
































