Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR: Diari peribadi Allahyarham Zara Qairina Mahathir setebal 51 muka surat antara barangan peribadi yang dijadikan sumber siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, diari peribadi milik mangsa itu diserahkan oleh guru sekolahnya kepada pihak polis ketika siasatan sedang dijalankan.
Katanya, dokumen itu mempunyai catatan setebal 51 halaman yang mempunyai luahan hati Zara Qairina pada setiap momen itu sekali gus menangkis dakwaan tidak berasas pihak tidak bertanggungjawab.
“Tuduhan mengatakan bahawa kes ditutup, cuba dimanipulasi adalah tuduhan sangat berat dan tidak mencerminkan tindakan pihak berkuasa hingga saat ini.
“Siasatan ini sampailah membawa kepada diari adik Zara yang diserahkan oleh guru kepada polis. Ia mempunyai catatan 51 halaman yang memberikan luahan hati adik Zara pada momen-momen dan apakah masalah sedang dihadapi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, antara lain, polis turut mengambil keterangan 195 saksi termasuk rakan-rakan satu asrama dengan mangsa.
“Apakah yang berlaku pada 14 dan 15 haribulan (Julai). Itu semua polis lengkapkan dalam siasatan,” katanya.






























