Jannie Lasimbang
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang mengecam keras kes pemerdagangan manusia yang terbongkar di Keningau baru-baru ini, melibatkan empat remaja perempuan termasuk mangsa bawah umur, sambil menyifatkannya sebagai pengkhianatan terhadap maruah serta masa depan anak-anak.
“Saya amat kesal dan mengecam sekeras-kerasnya kes pemerdagangan manusia yang berlaku di Keningau. Ia bukan sahaja satu jenayah besar, tetapi juga pengkhianatan terhadap maruah dan masa depan anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memuji tindakan pantas polis yang berjaya menyelamatkan mangsa dan menempatkan mereka di rumah perlindungan, namun menegaskan penyelesaian tidak boleh berakhir di situ sahaja.
Katanya, menumpukan perhatian hanya kepada suspek berusia 18 tahun adalah tidak mencukupi tanpa menyiasat kemungkinan dia sendiri merupakan mangsa yang telah digroom atau diperdaya pihak yang lebih berkuasa.
“Kita mesti bertanya: siapakah dalang sebenar yang mengawal, memanipulasi dan meraih keuntungan daripada penderitaan anak-anak ini?” soal beliau.
Jannie turut menuntut tindakan tegas terhadap pelanggan yang membeli seks daripada kanak-kanak, kerana mereka juga adalah pelaku rogol statutori.
“Pelanggan yang membayar untuk seks dengan kanak-kanak mesti dikenakan hukuman. Mereka adalah pesalah rogol statutori. Begitu juga dengan premis yang menjadi saluran eksploitasi ini — mereka perlu dipertanggungjawabkan kerana jenayah ini tidak berlaku dalam ruang kosong,” tegasnya.
Beliau menekankan perlunya pendekatan menyeluruh yang bukan sekadar menghukum pelaku, sebaliknya memastikan mangsa diberikan perlindungan jangka panjang.
“Mangsa berhak mendapat rawatan trauma, pendidikan, kaunseling psikologi, serta sokongan untuk membina semula kehidupan tanpa stigma. Jika kita hanya menyelamatkan fizikal mereka tetapi gagal merawat kesan mental dan emosi, kita gagal sebagai sebuah masyarakat,” katanya.
Menurut Jannie, kes itu seharusnya menjadi peringatan keras bahawa pemerdagangan manusia berlaku di depan mata masyarakat sendiri, wujud kerana adanya permintaan, jaringan keuntungan, dan sikap segelintir pihak yang memilih untuk menutup mata.
“Sebagai seorang ibu, seorang wanita dan seorang wakil rakyat, saya tidak akan berdiam diri terhadap pengkhianatan sebegini,” ujarnya.
Beliau menegaskan keadilan tidak boleh berhenti dengan penahanan seorang remaja, sebaliknya mesti memusnahkan keseluruhan rangkaian yang memperdagangkan manusia.
“Saya mendesak pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan hingga ke akar umbi dan membawa semua yang terlibat — daripada dalang hingga pelanggan — ke muka pengadilan,” tegas Jannie.
































