Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir kekal dengan pendiriannya selepas dua kali ditanya mengenai proses bedah siasat terhadap jasad anaknya ketika di hospital pada 17 Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada kali pertama, pegawai penyiasat menemui ibu mangsa, Noraidah Lamat selepas doktor mengesahkan kematian pelajar tersebut namun wanita itu menolak untuk berbuat demikian.
Katanya, wanita itu menyatakan bahawa dia mahu pengebumian anaknya disegerakan kerana mangsa sudah cukup menderita.
“Pada pukul 3.30 petang (17 Julai), pegawai penyiasat sampai ke hospital dan doktor memaklumkan keperluan menjalankan bedah siasat adalah urusan polis. Pegawai itu kemudiannya berjumpa dengan ibu mangsa dan memberitahu keperluan membuat proses itu.
“(Namun), ibu mangsa memaklumkan hendak menyegerakan pengebumian kerana anaknya sudah cukup menderita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Seterusnya, Saifuddin berkata, doktor yang bertugas pada hari sama sekitar pukul 5 petang sekali lagi bertemu ibu mangsa namun wanita itu kekal dengan pendiriannya untuk menyegerakan pengebumian.
“Kemudian (ibu mangsa) mengisi dan menandatangani surat akuan enggan (menjalankan) proses bedah siasat mayat atas kemahuannya sendiri yang dsaksikan oleh kakak iparnya.
“Dokumen semua siap, jadi sikap pegawai penyiasat ketika itu adalah menghormati sepenuhnya (pendirian wanita tersebut),” katanya.
Tegasnya, berdasarkan akuan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, terdapat ketidakpatuhan dari segi prosedur siasatan oleh pegawai polis tersebut.
“Dari sudut Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) itu dianggap sebagai tidak patuh dan ditegur dan polis akan mengambil tindakan dalaman,” katanya.
Dalam sesi perbahasan berhubung sesi penerangan itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan sama ada ibu mangsa ada diberi penjelasan berhubung kepentingan melakukan bedah siasat ketika kematian itu berlaku.
Menjawab perkara itu, Saifuddin berkata, tindakan ibu mangsa menandatangani surat akuan itu adalah fakta namun ia sama sekali tidak bermaksud untuk meletakkan ibu mangsa dalam posisi bersalah.
Beliau berkata, sama ada ibu mangsa diberi kefahaman berhubung proses bedah siasat, perkara itu boleh dijelaskan melalui inkues yang akan dijalankan tak lama lagi.
“Jauh sekali apabila sebut soal persetujuan ibu menandatangani surat akuan itu, tidak terlintas bahawa kenyataan fakta terbabit adalah untuk meletakkan ibu dalam posisi bersalah.
“Saya hanya maklumkan fakta bahawa pegawai penyiasat khilaf dan niat dia hendak permudahkan urusan ibu dan menyegerakan proses pengebumian, namun tindakan itu tidak akan dipertahankan, malah Jabatan Siasatan Jenayah mengambil pendirian akan membuat langkah susulan,” katanya.































