Zara Qairina Mahathir
KUALA LUMPUR: Tiada sebarang unsur ‘cover up’ atau menutup kesilapan berhubung kelewatan siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun terdapat ketidakpatuhan dalam proses awal, ia tidak sama sekali menjejaskan integriti siasatan selepas Bukit Aman mengambil alih.
“Keadaan sudah menjadi toksik. Tuduhan mengatakan kes ini cuba ditutup atau dimanipulasi adalah tuduhan sangat berat dan tidak mencerminkan realiti tindakan pihak berkuasa daripada awal hingga kini.
“Saya ingin tegaskan, tuduhan ‘cover up’ atau dakwaan SOP tidak dipatuhi itu tidak benar. Siasatan polis tidak menemui semua perkara itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin menambah, dakwaan kononnya kematian Zara ada kaitan dengan individu berprofil tinggi atau akibat didera dalam mesin basuh juga tidak benar.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 195 saksi dipanggil memberikan keterangan selain beberapa bahan bukti termasuk diari 51 halaman milik mangsa yang diserahkan guru kepada polis.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar itu ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 4 pagi pada 16 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Mangsa meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Pada 9 Ogos lalu, jenazahnya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan susulan dakwaan kes buli.































