Penunjuk perasaan memegang sepanduk dan kain rentang membantah rancangan Trump untuk menempatkan Pengawal Kebangsaan di Washington.
WASHINGTON: Semua 800 anggota Pengawal Kebangsaan yang diarahkan ke ibu negara Amerika Syarikat oleh Presiden Donald Trump kini digembleng sepenuhnya, menurut kenyataan Pentagon pada Khamis.
Menurut Utusan Malaysia, Trump mengarahkan penempatan itu susulan langkah serupa semasa protes di Los Angeles pada bulan Jun sebagai sebahagian daripada apa yang digambarkannya sebagai tindakan tegas terhadap jenayah di Washington, meskipun statistik menunjukkan jenayah ganas sebenarnya menurun.
“Setakat hari ini, kesemua 800 anggota Pengawal Kebangsaan Tentera Darat dan Udara digembleng sebagai sebahagian daripada Pasukan Petugas Bersama DC, dan kini berada di ibu negara,” kata Jurucakap Pentagon, Kingsley Wilson, kepada media.
Menurut beliau, pasukan ini akan membantu Polis Metropolitan DC dan agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan dalam tugas seperti keselamatan monumen, rondaan keselamatan komuniti, perlindungan kemudahan persekutuan dan kawalan lalu lintas.
“Mereka akan kekal di sini sehingga undang-undang dan ketenteraman dipulihkan di Wilayah Columbia, seperti yang ditentukan oleh Presiden,” tambahnya.
Tentera AS dalam kenyataan susulan memaklumkan misi awal Pengawal Kebangsaa adalah untuk memberikan kehadiran ketara di kawasan awam utama, bagi menjadi pencegah jenayah yang kelihatan.
Mereka tidak akan melakukan tangkapan, penggeledahan atau mengarahkan penguatkuasaan undang-undang, tetapi mereka mempunyai kuasa untuk menahan sementara individu bagi mencegah bahaya yang bakal berlaku, jelas kenyataan itu.
Pasukan tersebut akan dilengkapi dengan peralatan perlindungan, dan senjata akan disediakan jika perlu, namun akan disimpan di dalam gudang senjata buat masa ini.
Bandar Washington yang dikuasai Parti Demokrat sering menjadi sasaran kritikan ahli politik Republikan yang mendakwa ia dipenuhi jenayah, gelandangan, dan mengalami salah urus kewangan.
Namun, data rasmi daripada polis Washington menunjukkan penurunan ketara dalam jenayah ganas antara 2023 dan 2024, walaupun selepas lonjakan pasca pandemik.




























