Terserlah kegirangan beberapa murid Tabika KEMAS Paris 1B ketika melihat kehadiran peserta konvoi KMJG Sabah 2025 di kampung mereka.
KINABATANGAN: Suasana di Dataran Kampung Paris 1, Kinabatangan hari ini gamat dengan sorakan dan kibaran bendera apabila lebih 70 murid sekolah menyambut ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Sabah 2025.
Sambutan disertai 50 murid Sekolah Kebangsaan Paris Kinabatangan dan 20 murid Tabika KEMAS Paris 1B yang berdiri megah sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah, menyemarakkan rasa cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda.
Program singgah sebentar konvoi itu turut dimeriahkan dengan Upacara Memacak Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah di Dataran Kampung Paris 1 disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor bersama Timbalan Pengarah Pengurusan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Siti Norhaini Osli.
Program Konvoi KMJG 2025 merupakan sebahagian daripada inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia sempena Bulan Kebangsaan yang bertujuan memupuk semangat perpaduan dan patriotisme rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
































