WASHINGTON: Rumah Putih bakal menjadi lokasi acara pertarungan Ultimate Fighting Championship (UFC) buat pertama kali pada tahun depan, bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) pada 4 Julai yang turut menandakan ulang tahun ke-250 penubuhan negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, pengumuman itu dibuat oleh Presiden UFC, Dana White yang mempunyai hubungan persahabatan lama dengan Presiden AS sejak awal 2000-an, ketika Donald Trump menjadi tuan rumah kepada beberapa acara UFC terawal di premis perniagaannya.
“Ia akan menjadi kali pertama pertandingan UFC diadakan di kawasan Rumah Putih. Ia pasti akan berlangsung,” kata White kepada CBS Mornings.
White memaklumkan beliau merancang untuk bertemu dengan Presiden dan anaknya, Ivanka Trump pada penghujung bulan ini bagi memuktamadkan perancangan tersebut.
Seorang pegawai Rumah Putih turut mengesahkan acara tersebut kepada BBC.
Lokasi tepat masih belum ditentukan memandangkan pertarungan UFC lazimnya menarik puluhan ribu penonton dan diadakan di arena besar dengan sangkar lapan sisi yang menjadi identiti sukan itu.
“Ketika Trump menghubungi saya dan meminta untuk menganjurkannya, beliau mahu Ivanka menjadi orang tengah acara ini.
“Ivanka kemudian menghubungi saya, dan kami mula berbincang tentang lokasi dan saya menyediakan semua lakaran rekaan,” kata White mengenai perbincangannya dengan Trump.
Trump sebelum ini pernah memberi bayangan mengenai idea menganjurkan pertarungan di Rumah Putih ketika satu acara di Iowa bulan lalu.
Beliau turut memaklumkan cadangan untuk membina sangkar pertarungan di perkarangan Rumah Putih dan menganggarkan acara itu mampu menampung sehingga 25,000 penonton.
“Kita akan mengadakan pertarungan UFC, bayangkan ia berlangsung di kawasan Rumah Putih. Kita ada kawasan yang luas di sana,” kata Trump pada acara 4 Julai Salute to America di negeri itu.
































