Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) bagi Akta Pendanaan Politik masih dalam proses penelitian dan memerlukan persetujuan parti politik sebelum dibawa ke Parlimen.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, proses itu mengambil masa kerana banyak RUU yang perlu dibentangkan setiap tahun.
Katanya, proses itu juga memerlukan kata sepakat daripada setiap parti politik selain kerajaan yang masih mempunyai tempoh kira-kira dua setengah tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kita ada tiga sesi Parlimen setahun. Banyak sangat undang-undang. Tidak cukup. Kita ada lagi 2.5 tahun untuk pilihan raya. Sabar sajalah. Insya-Allah. Jadi, lagi enam sesi Parlimen. Insya-Allah.
“Ia tertakluk kepada parti politik. Akta pendanaan politik, parti politik yang kena beri persetujuan sebab mereka yang berhadapan dengan undang-undang ini. Masih dalam proses,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Pra-Peluncuran Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia (NAPBHR) 2025-2030, kelmarin.
RUU itu bertujuan mengawal selia dana politik melalui mekanisme jelas meliputi had sumbangan, larangan sumbangan asing dan pendedahan sumber kewangan parti bagi meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko rasuah.
Januari lalu, media melaporkan ketiadaan undang-undang khusus yang mengawal pendanaan politik boleh mewujudkan jurang ketara yang meningkatkan risiko rasuah.
Merujuk perkara itu, kerajaan akan memberi tumpuan kepada tiga aspek penerimaan dana politik di bawah RUU tersebut iaitu parti politik, ahli politik dan kempen pilihan raya.
































