Seorang wanita dikecam selepas berhasrat menyumbang seekor kuda padi yang sudah uzur untuk dijadikan makanan haiwan pemangsa di zoo Denmark.
COPENHAGEN: Seorang ibu di Denmark mencetuskan kontroversi apabila menyerahkan kuda padi yang sudah uzur milik anaknya kepada sebuah zoo untuk dijadikan makanan kepada singa.
Menurut Utusan Malaysia, Pernille Sohl, 44, dari Denmark utara, membuat keputusan membawa kuda padi tersebut ke Zoo Aalborg bagi melupuskan haiwan peliharaan keluarganya.
Katanya, pilihan itu dibuat selepas mengetahui kuda tersebut sudah uzur dan baginya tiada sebab untuk menolak permintaan zoo yang menerima haiwan peliharaan sebagai makanan kepada pemangsa mereka.
“Ia kedengaran dramatik dan pelik untuk memberi haiwan peliharaan anda kepada haiwan di zoo. Tetapi mereka akan ditamatkan riwayat juga, dan bukannya diberikan kepada pemangsa dalam keadaan hidup,” katanya kepada The Times.
Zoo Aalborg sebelum ini mengumumkan kempen menggalakkan pemilik haiwan peliharaan menyumbangkan haiwan mereka untuk dijadikan makanan kepada singa, harimau, lynx Eropah dan pemangsa lain.
Sejak kempen itu bermula, zoo tersebut menerima 22 ekor kuda, 137 arnab, 53 ayam dan 18 tikus belanda. Semua haiwan tersebut akan diberi kepada pemangsa sebagai ‘mangsa penuh’ bagi meniru rantaian makanan semula jadi dan menjaga kebajikan haiwan liar di zoo itu.


































