CHONGQING: Sebuah kenderaan autonomi yang dikendalikan oleh perkhidmatan teksi robot Apollo Go milik Baidu, terjatuh ke dalam lubang pembinaan ketika sedang membawa seorang penumpang di barat daya China.
Menurut Utusan Malaysia, Southern Metropolis Dailydan Huashang Newspaper melaporkan, kejadian yang berlaku pada Khamis lalu tidak menyebabkan penumpang wanita berkenaan mengalami kecederaan.
Mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk tempatan menggunakan tangga.
Video yang tular di media sosial China memaparkan sebuah kenderaan berwarna putih dengan logo Baidu Apollo berada di bahagian bawah kawasan yang kelihatan seperti parit pembinaan.
Seorang pemilik kedai tempatan memberitahu, tapak pembinaan itu mempunyai penghadang dan papan amaran, namun masih tidak jelas bagaimana kenderaan tersebut dapat melepasi kawasan keselamatan berkenaan.
Insiden itu mencetuskan perbincangan meluas di media sosial China mengenai tahap keselamatan kenderaan autonomi.
Baidu mengendalikan salah satu kenderaan autonomi terbesar di China dan menjalankan operasi komersial teksi robot di beberapa bandar termasuk Wuhan, Beijing dan Chongqing.
Syarikat itu juga memperluaskan perkhidmatan teksi robotnya ke pasaran global dengan menandatangani kerjasama bersama platform e-hailing Amerika Syarikat (AS), Uber Technologies dan Lyft.
Mei lalu, pesaingnya dari China, Pony.ai, menjadi perhatian selepas video sebuah kereta miliknya terbakar di jalan raya di Beijing tular di media sosial.
Syarikat itu kemudian menjelaskan kebakaran berlaku ketika kenderaan tersebut dikendalikan oleh kakitangan penyelenggaraan selepas berlaku kerosakan sistem, dan tiada penumpang berada di dalamnya.
































