Seorang pekerja melakukan semburan nyamuk di Dongguan, China.
BEIJING: Pihak berkuasa China mengenakan semula langkah kuarantin mirip ketika pandemik Covid-19 di beberapa kawasan, susulan peningkatan mendadak kes jangkitan virus Chikungunya yang kini menular di selatan negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, lebih 7,000 jangkitan berlaku di bandar Foshan, wilayah Guangdong, memaksa pihak kesihatan menempatkan pesakit di wad-wad khas yang dilitupi kelambu, bagi mengelak penyebaran virus yang dibawa nyamuk Aedes tersebut.
Pesakit dikehendaki menjalani kuarantin selama seminggu atau sehingga keputusan ujian mereka menunjukkan negatif, bergantung kepada mana yang lebih awal dengan setakat ini tiada kematian dilaporkan.
Sekurang-kurangnya 12 bandar lain di Guangdong turut merekodkan kes jangkitan, dengan hampir 3,000 kes baharu dilaporkan dalam tempoh seminggu lalu, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 10,000 kes di seluruh negara.
Mereka yang mengalami demam, sakit sendi atau ruam diminta segera mendapatkan pemeriksaan di hospital bagi menjalani ujian saringan.
Pada peringkat awal, kerajaan turut mengarahkan pengembara dari Foshan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari, langkah serupa ketika penularan Covid-19 namun arahan tersebut telahpun ditarik balik.
Virus Chikungunya lazimnya disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes, spesies sama yang menjadi vektor denggi dan Zika meskipun jarang membawa maut, virus ini mampu menyebabkan gejala serius dan melemahkan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, wabak ini paling banyak dilaporkan di benua Asia, Afrika dan Amerika Selatan namun, kes turut meningkat di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sejak kebelakangan ini.


































