Limus (dua dari kanan) dan Jainisah (tiga dari kanan) ketika menyanyikan lagu Jalur Gemilang.
MENUMBOK: Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan dan patriotisme, malah menjadi platform kerajaan memperkasa penyampaian perkhidmatan agar lebih berkesan dan mudah diakses rakyat.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury berkata pelaksanaan pelbagai projek dan inisiatif pembangunan di Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kerana itu, peranan serta kerjasama erat antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan, Pejabat Daerah, Pejabat Daerah Kecil, majlis daerah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) amat penting bagi memastikan manfaat pembangunan ini dapat dinikmati seluruh penduduk,” katanya kepada media selepas merasmikan KMJG 2025 peringkat Daerah Kuala Penyu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menumbok, pada Khamis.
Beliau berkata program seumpama itu merupakan saluran terbaik untuk mengumpulkan semua jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat.
“Saya menyeru warga Kuala Penyu dan Menumbok yang hadir, agar merebut peluang mendapatkan pelbagai informasi melalui kaunter perkhidmatan dan pameran yang disediakan. Yang hadir hari ini adalah pakar dalam bidang masing-masing, didatangkan khas untuk memberi manfaat kepada semua,” ujarnya.
Menyentuh tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 iaitu Malaysia Madani, Rakyat Disantuni, Limus berkata ia menggambarkan komitmen kerajaan yang sentiasa mendampingi rakyat dengan kasih sayang, inklusif dan berintegriti.
“Semoga program ini menjadi pemangkin untuk menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan yang tidak berbelah bahagi terhadap tanah air.
“Salah satu perkara yang boleh kita laksanakan adalah dengan menyokong dan mendukung inisiatif utama yang diagendakan dalam program ini iaitu Satu Rumah Satu Jalur Gemilang.Beliau turut mengajak masyarakat untuk terus bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, permis sebagai semangat menyambut Bulan Kebangsaan.
Hadir sama, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pegawai Daerah Kuala Penyu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana KMJG peringkat Daerah Kuala Penyu, Nelson Domil Oluk, Penolong Pegawai Daerah Kecil Menumbok, Hasnita Noorzain dan Pengetua SMK Menumbok, Rosley Ajam.