Saifuddin Nasution Ismail
KAJANG: Semua pihak diminta untuk menghormati proses undang-undang sedang berjalan berhubung siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir termasuk memberi ruang kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melakukan penilaian semula kertas siasatan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sekiranya terdapat sebarang kekurangan dalam laporan siasatan, AGC sudah pasti akan mengembalikannya kepada polis bagi ditambah baik sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Kata beliau, dalam sesuatu insiden berlaku, maka kertas siasatan dibuka oleh polis.
“Apabila polis sudah selesaikan tugas mereka, maka mereka akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada AGC. Jadi, biar proses itu berlaku dahulu,” katanya dalam sidang akbar selepas majlis Program i-Deen Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.
Saifudin berkata, beliau tidak mahu terlibat dalam polemik sama ada kertas siasatan itu sempurna atau sebaliknya kerana proses semakan adalah tanggungjawab AGC.
Jelas beliau, AGC semestinya mempunyai keyakinan sebelum mereka membuat sesuatu keputusan terutamanya kes mendapat liputan ramai kerana masyarakat mahu mengetahui hal sebenar.
“Lazimnya, jika ada kecacatan pada satu kertas siasatan, AGC akan kembalikan kepada pihak polis untuk diperkemaskan.
“Jika ada kekurangan dari segi siasatan adalah menjadi sesuatu perkara biasa untuk AGC mengembalikan kertas siasatan kepada polis untuk ditambah baik dan diperkemaskan. Itu lumrah dalam proses siasatan polis dan AGC dalam melakukan penilaian,” jelasnya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, mengesahkan bahawa kertas siasatan kes kematian Zara Qairina telah diserahkan kepada AGC.
Dalam kenyataan berasingan, AGC memaklumkan sudah menerima laporan penuh siasatan awal daripada polis di dua peringkat, iaitu pada 3 Ogos daripada Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Putrajaya.
AGC menjelaskan, pihaknya kini sedang meneliti laporan berkenaan secara menyeluruh dari segi undang-undang dan fakta sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.


































