Keju biru antara makanan tradisional yang enggan diterima Generasi Z di Britain.
LONDON: Golongan muda dari generasi Z di Britain bukan sahaja terkenal dengan sikap ‘quiet quitting’ dan enggan melayan pelayan restoran, mereka juga mencetuskan gelombang baharu dalam tabiat pemakanan iaitu dengan menolak beberapa makanan tradisional yang dianggap menjijikkan.
Menurut Utusan Malaysia, satu tinjauan terbaharu mendedahkan 10 jenis makanan yang kini berada di ambang kepupusan di United Kingdom (UK) berikutan keengganan generasi Z untuk menyentuhnya, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kelestarian hidangan klasik British.
Mendahului senarai makanan paling dibenci adalah hati, dengan 35 peratus responden daripada generasi Z mengaku tidak akan menyentuhnya sama sekali.
Turut ‘digam’ ialah keju biru (32 peratus), ikan bilis (30 peratus), sosej darah hitam atau black pudding (29 peratus) dan udang (26 peratus).
Hidangan seperti itik (25 peratus), tauhu, cendawan, dan zaitun (masing-masing 23 peratus) juga menerima nasib sama, manakala keju berasaskan tumbuhan tidak dipandang langsung oleh 21 peratus golongan ini.
Menurut pengacara televisyen terkenal, Fred Sirieix, yang menaja penyelidikan tersebut, meskipun ramai rakyat Britain mengaku terbuka dengan pelbagai cita rasa global, namun hakikatnya ramai yang masih mempunyai prejudis terhadap bahan makanan tertentu.
Kajian itu membabitkan 2,000 responden dewasa di UK yang ditanya makanan apa yang mereka enggan makan dan menariknya, enam daripada 10 rakyat Britain mengaku mereka tidak menyukai makanan tertentu walaupun belum pernah mencubanya.






























