Anwar Ibrahim semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperluaskan cukai prokesihatan kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol untuk membendung penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, lapor Utusan Malaysia.
Mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu menunjukkan ketegasan kerajaan dalam menangani risiko kesihatan.
“Cukai prokesihatan akan diperluas daripada gula kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol, bukan sekadar untuk hasil, tetapi bagi mendorong perubahan tingkah laku dan membendung peningkatan NCD yang kian membimbangkan.
Jumlah pesakit diabetes Malaysia antara yang tertinggi di kalangan negara Asean,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Pada 2019, kerajaan memperkenalkan cukai ke atas minuman bergula dalam usaha memerangi penyakit kronik.
Ketika diperkenalkan, duti eksais RM0.40 seliter dikenakan ke atas semua minuman berbungkus sedia untuk diminum yang mengandungi lebih daripada 5g gula setiap 100ml.
Cukai itu dinaikkan kepada RM0.50 pada 2023, dengan peningkatan kepada RM0.90 dicadangkan tahun ini.
































