Hajiji dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bergambar bersama wakil-wakil kesatuan sekerja.
PENAMPANG: Kerajaan Negeri mengalu-alukan kehadiran kesatuan sekerja sebagai rakan strategik, kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Dalam kerangka pembangunan baharu yang lebih inklusif ini, suara kesatuan sekerja perlu didengari dan diberi perhatian serius. Ini bukan sahaja melibatkan isu gaji dan faedah, tetapi juga dalam merangka dasar, perancangan ekonomi, pendidikan, adaptasi teknologi serta mewujudkan persekitaran kerja masa depan yang mampan.
“Saya percaya Sabah mempunyai potensi untuk menjadi negeri contoh di Malaysia dalam membangunkan ekosistem pekerjaan yang bukan sahaja menggerakkan ekonomi kukuh tetapi juga menjunjung hak-hak pekerja,” katanya pada sambutan Hari Kesatuan Sekerja Peringkat Negeri di International Technology and Commercial Centre (ITCC) di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri komited dalam memperkasa tenaga kerja, menyokong gerakan kesatuan sekerja dan memastikan kebajikan mereka terus dilindungi.
“Saya berharap perhimpunan ini menjadi platform untuk kita memperkukuh semangat kesatuan dan bekerjasama membina masa depan yang lebih cerah untuk Sabah,” katanya.
Menurut Hajiji, di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada beberapa keutamaan kritikal, termasuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Kerjasama ini penting untuk memperluas liputan perlindungan sosial dan keselamatan kepada semua pekerja, termasuk mereka dalam sektor tidak formal yang sering terpinggir.
“Kita mahu memastikan setiap rakyat Sabah, sama ada di kawasan luar bandar atau bandar, diberikan peluang saksama untuk menyumbang dan mendapat manfaat daripada pembangunan negeri,” katanya.

Hajiji menyampaikan bendera kepada kontinjen Sabah bagi menyertai kejohanan Sukan Pekerja (Super) sulung yang akan diadakan di Pulau Pinang pada September ini.
“Saya melihat perhimpunan ini bukan sekadar perhimpunan biasa, sebaliknya yang pertama seumpamanya di Sabah yang menghimpunkan kita secara besar-besaran, menandakan era baharu bagi gerakan kesatuan sekerja di negeri ini.
“Ia adalah titik permulaan kepada gerakan yang lebih tersusun dan inklusif berteraskan semangat Sabah Maju Jaya,” katanya.
Menurutnya, negeri ini mencatatkan tenaga buruh melebihi 1.7 juta orang pada tahun lalu dan sumbangan kolektif tenaga kerja itu telah mendorong peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah kepada RM84.3 bilion.
“Ini turut menyumbang kepada peningkatan KDNK khususnya dalam sektor-sektor kritikal seperti pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan kuari serta perkhidmatan.
“Berdasarkan data terkini kesatuan sekerja di Sabah, setakat hari ini terdapat 92 kesatuan sekerja yang berdaftar dan dikawal selia oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Sabah, merangkumi 23 kesatuan sektor kerajaan, 52 sektor swasta dan 16 badan berkanun.
“Ini melibatkan jumlah keahlian seramai 60,764 orang, dengan 22,317 ahli dari sektor kerajaan, 35,194 dari sektor swasta dan 3,253 dari badan berkanun,” katanya.
Selaras dengan era globalisasi dan kemajuan teknologi yang pesat, Hajiji menggesa kesatuan sekerja di Sabah agar lebih proaktif dalam menjaga kebajikan ahli melalui pelbagai inisiatif dan program yang ditawarkan di peringkat persekutuan dan negeri.
“Di sinilah peranan penting kesatuan sekerja sebagai tiang utama dalam menegakkan keadilan sosial dan memastikan setiap pekerja mendapat hak mereka, bukan sahaja dari segi gaji yang adil, tetapi juga peluang peningkatan kemahiran, keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, perlindungan sosial yang kukuh serta persekitaran kerja yang kondusif dan menyokong,” katanya.
Beliau turut menasihati pemimpin kesatuan sekerja dari Sabah yang akan menyertai Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang pada 6 September ini agar menggunakan peluang tersebut untuk menyuarakan aspirasi dan suara pekerja Sabah di peringkat nasional.
































