HONG KONG: Satu kajian terbaharu yang diketuai oleh sekumpulan saintis dari China mendapati kitaran aktiviti matahari setiap 11 tahun mempunyai kaitan langsung dengan corak hujan musim panas di negara itu.
Ia sekali gus menjelaskan mengapa fenomena kemarau di selatan dan banjir di utara semakin ketara dalam tahun-tahun yang mencatat aktiviti solar tinggi.
Menurut Utusan Malaysia, kajian tersebut memberi tumpuan terhadap corak taburan hujan semasa musim monsun Timur Asia khususnya tempoh ‘mei yu’ atau ‘hujan buah plum’ yang terkenal di wilayah tersebut.
Ia mendapati perubahan pada aktiviti magnetik matahari memainkan peranan penting dalam mengubah kedudukan talian hujan ke arah utara.
“Corak hujan musim panas dalam skala dekad boleh dikaitkan dengan rejim hujan yang dipengaruhi oleh aktiviti solar,” kata kumpulan penyelidik dalam kajian yang diterbitkan dalam Journal of Climate pada 15 Julai lalu.
Para penyelidik terdiri daripada pakar di Akademi Sains China, Pentadbiran Meteorologi China, Universiti Sains dan Teknologi China, serta Pusat Penyelidikan Lautan Geomar Helmholtz di Jerman.
Mereka menjelaskan kajian tersebut berjaya mengenal pasti pengaruh perubahan dalam kitaran magnetik matahari ke atas pola hujan kemarau di selatan dan banjir di utara yang sering berlaku di China setiap musim panas.
Kajian ini dijangka mampu membantu dalam meningkatkan ketepatan ramalan iklim jangka panjang.
“Penentuan kedudukan talian hujan monsun memberi impak besar terhadap taburan kemarau dan banjir di China, menjadikannya elemen penting dalam peramalan iklim ketika musim banjir,” kata para penyelidik.
Kajian ini diterbitkan ketika ibu negara China, Beijing, kini sedang dilanda hujan lebat dan banjir yang sudah meragut sekurang-kurangnya 44 nyawa, menurut laporan media rasmi China semalam.
Sejak Jun lalu, wilayah utara dan barat China terus berada dalam amaran tinggi berikutan risiko hujan lebat, banjir kilat dan tanah runtuh, manakala beberapa bahagian selatan pula
mengalami kemarau yang menjejaskan hasil pertanian.
Matahari secara semula jadi mengalami fasa perubahan antara aktiviti magnetik rendah dan tinggi, dengan kemuncak dikenali sebagai ‘solar maximum’.
Aktiviti ini diukur melalui bilangan dan saiz tompok matahari atau sunspots, iaitu kawasan yang lebih sejuk di permukaan matahari yang terbentuk akibat aktiviti magnetik yang kuat.
Untuk rekod, pada Oktober lalu, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) mengumumkan matahari kini berada pada fasa paling aktif dalam kitarannya namun, puncak sebenar aktiviti hanya dapat dikenal pasti beberapa bulan atau tahun selepas aktiviti tersebut mula menurun.
































