Gudang Kuehne-Nagel menyimpan berjuta-juta bekalan alat kontraseptif milik USAID di Geel, Belgium.
WASHINGTON: Pentadbiran Trump memilih untuk memusnahkan bekalan alat kontraseptif bernilai AS$9.7 juta (RM41 juta) yang dibeli oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) daripada menghantarnya kepada golongan wanita di luar negara.
Menurut Utusan Malaysia, tindakan ini susulan pembatalan beberapa program bantuan luar negara yang sebelum ini dikendalikan oleh USAID.
Menurut jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), keputusan awal untuk memusnahkan alat kawalan kelahiran tersebut sudah disahkan dan proses pembakaran dijangka menelan kos sebanyak $167,000 (RM706,827).
Bekalan kontraseptif itu kini disimpan di gudang Kuehne-Nagel di Geel, Belgium.
Kementerian Luar Negeri Belgium memaklumkan mereka sedang menjalankan perbincangan diplomatik dengan Kedutaan AS untuk mencari penyelesaian alternatif bagi bekalan tersebut.
Menurut seorang pembantu Kongres AS, kebanyakan kontraseptif berkenaan adalah jenis jangka panjang seperti alat dalam rahim (IUD), implan rod, suntikan kawalan kelahiran serta pil hormon seperti levonorgestrel dan etinil estradiol.
Beliau turut menjelaskan kontraseptif tersebut perlu dimusnahkan melalui proses pembakaran berganda kerana kandungan hormon yang tinggi dan risiko pencemaran alam sekitar, sekali gus meningkatkan kos pelupusannya.
Senator AS, Jeanne Shaheen turut menghantar seorang kakitangan ke gudang di Belgium untuk memperkenalkan undang-undang melarang pemusnahan barangan tersebut melainkan semua usaha untuk menjual atau mendermakannya sudah dilakukan.
Ini kerana tarikh luput terawal bagi kontraseptif tersebut adalah pada tahun 2027, dengan sebahagian besar daripadanya masih boleh digunakan sehingga 2031.
“Amat mengecewakan apabila Jabatan Negara meluluskan perbelanjaan untuk memusnahkan barangan yang sudah dibayar dan boleh menyelamatkan nyawa, malah hanya menunggu untuk dihantar.
“Selain makanan bekalan perancang keluarga ini amat diperlukan di negara-negara yang terjejas oleh konflik, seperti Sudan dan Republik Demokratik Congo, yang kini dilanda kebuluran,” kata Shaheen dalam satu kenyataan.
Sebuah organisasi bernama MSI Reproductive Choices menyatakan memaklumkan, mereka bersama rakan dana lain menawarkan untuk menanggung kos penghantaran dan pembungkusan semula bekalan berjenama USAID itu, namun kerajaan AS menolak tawaran tersebut.


































