KOTA KINABALU: Kerja penyelenggaraan bersepadu di Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) Kimanis yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 1 Ogos hingga 7 Ogos 2025 telah dijadualkan semula kepada 5 Ogos hingga 11 Ogos 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata penjadualan semula itu diputuskan dalam mesyuarat bersama antara ECoS, Petronas Carigali Sdn Bhd dan Pengendali Sistem Grid semalam.
Katanya, penjadualan semula itu bertujuan memberi ruang kepada kerja pembaikan unit rosak milik Sabah Electricity dan Penjana Tenaga Bebas (IPP), ujian kebolehpercayaan operasi IPP di Kimanis menggunakan bahan api diesel serta penyiapan tambahan kapasiti Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) sebanyak 40MW.
“Penjadualan semula ini dapat mengurangkan secara signifikan kesan pelaksanaan catuan bekalan elektrik kepada pengguna di Sabah sekiranya perlu bagi menstabilkan rangkaian grid Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerja penyelenggaraan bersepadu SOGT bersama aset luar pesisir merupakan keperluan mandatori untuk pembaharuan Sijil Kelayakan (CF) oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi memastikan aset yang terlibat sentiasa beroperasi mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan.
“Sepanjang kerja penyelenggaraan ini, bekalan gas akan dihentikan kepada dua loji Penjana Tenaga Bebas iaitu Loji Janakuasa Kimanis dan SPR Energy yang akan beroperasi menggunakan bahan api diesel.
“Selain itu, kerja penyambungan paip gas bagi projek penjanaan baharu berkapasiti 100MW yang sedang dibangunkan oleh Sabah Electricity di Kimanis turut akan dilaksanakan, yang hanya boleh dilakukan ketika penghentian bekalan gas ini,” katanya.
Menurut Abdul Nasser, dengan siapnya projek tersebut pada suku ketiga 2025 bersama inisiatif penambahbaikan kapasiti penjanaan lain, margin rizab penjanaan Grid Sabah dijangka meningkat daripada 17% ketika ini kepada 30%.
Sebagai rekod, margin rizab pada tahun 2023 adalah kurang daripada 10%. Peningkatan margin rizab ini amat diperlukan bagi menambah ketahanan Grid Sabah sekiranya berlaku kerosakan beberapa loji janakuasa.
Abdul Nasser berkata, selain usaha menambah kapasiti penjanaan (dari aspek bekalan), pengguna elektrik juga boleh memainkan peranan dari segi pengurusan permintaan (demand side).
“Kaedah paling mudah adalah menggunakan tenaga elektrik secara cekap dan mengutamakan penggunaan elektrik di luar waktu puncak, iaitu selepas jam 9 malam,” katanya.






























