KUALA LUMPUR: Pelaburan keseluruhan berjumlah RM611 bilion diperlukan untuk memastikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mencapai objektif, demi memastikan negara mampu melonjak ke arah negara berpendapatan tinggi dan menyediakan kehidupan berkualiti.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, RM430 bilion merupakan peruntukan pembangunan kerajaan.
“Sebanyak RM120 bilion daripada GLC dan GLIC, manakala sektor swasta pula akan direalisasikan melalui kaedah perkongsian awam-swasta (PPP) dengan nilai pelaburan dianggarkan berjumlah RM61 bilion,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Anwar berkata, pendekatan ini akan memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta dalam memacu agenda pembangunan negara.
“Kerajaan bukan sahaja menyediakan peruntukan besar, tetapi turut menggalakkan penglibatan aktif sektor swasta dan syarikat milik negara supaya manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh,” katanya.






























