Anwar Ibrahim membentangkan RMK13 di Parlimen.
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.2 peratus setahun bagi tempoh 2021 hingga 2024, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dalam tempoh sama.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan itu banyak dipacu oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Jelasnya, manakala dari sudut permintaan, ia diterajui oleh perbelanjaan sektor swasta yang meningkat 5.7 peratus setahun.
“Jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam tempoh 2021 hingga 2024 adalah sebanyak RM1.29 trilion, meningkat pada kadar 23.1 peratus setahun,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, tahun 2024 sahaja mencatatkan pelaburan tertinggi dalam sejarah, berjumlah RM384 bilion, melebihi rekod tahun-tahun sebelumnya.
Dalam masa yang sama, kadar inflasi negara kekal terkawal pada paras 1.1 peratus bagi bulan Jun 2025, sekali gus menunjukkan kestabilan harga yang dinikmati rakyat.
Perdana Menteri berkata, dari sudut fiskal pula, defisit fiskal negara telah menurun kepada 4.1 peratus pada 2024 berbanding 6.2 peratus pada tahun 2020.
“Komitmen kerajaan dalam konsolidasi fiskal turut terbukti dengan pengurangan hutang baharu kepada RM76.8 bilion pada tahun 2024 berbanding RM99.4 bilion pada tahun 2022,” ujarnya.
































