Seekor babun Guinea memanjat pokok di Zoo Tiergarten Nürnberg di German.
NUREMBERG: Sebuah zoo di bandar Nuremberg mengesahkan membunuh 12 ekor babun Guinea pada Selasa, meskipun menerima bantahan dan protes daripada aktivis haiwan.
Menurut Utusan Malaysia, Zoo Tiergarten Nürnberg pertama kali mengumumkan rancangan untuk membunuh sebahagian babun pada Februari 2024, kerana tiada lagi ruang mencukupi untuk menempatkan haiwan tersebut.
Walaupun beberapa tawaran untuk menerima haiwan itu sudah diterima, pihak zoo berkata, tiada satu pun yang berjaya direalisasikan.
Rancangan itu menerima kecaman hebat daripada kumpulan hak asasi haiwan dan mencetuskan protes di luar kawasan zoo.
Pihak zoo memberi amaran akan mula membuat persediaan untuk melaksanakan tindakan tersebut sebelum menutup operasi kelmarin atas alasan yang tidak dapat dijelaskan.
Menjelang tengah hari, polis melaporkan beberapa aktivis menceroboh masuk ke kawasan zoo, dengan sebahagian mereka berbaringkan di tanah sebelum ditahan.
Tidak lama kemudian, zoo tersebut mengesahkan 12 ekor babun ditembak dan sampel diambil untuk tujuan penyelidikan sebelum bangkainya dijadikan makanan kepada haiwan pemangsa di zoo tersebut.
Beberapa kumpulan hak haiwan menyatakan hasrat untuk memfailkan aduan jenayah terhadap tindakan tersebut.
Populasi babun Guinea di zoo itu meningkat kepada 43 ekor, jauh melebihi kapasiti bangunan yang dibina pada akhir 2000-an yang hanya mampu menampung 25 ekor babun dewasa dan anak-anak mereka.
Kesesakan itu menyebabkan peningkatan konflik sesama haiwan.
Menurut zoo, mereka sudah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan populasi sebelum ini, termasuk menghantar 16 ekor babun ke zoo di Paris dan China sejak 2011.
Namun, zoo-zoo tersebut serta satu lagi di Sepanyol kini jturut mencapai kapasiti maksimum.
Percubaan untuk mengawal kelahiran melalui kaedah perancang keluarga dihentikan beberapa tahun lalu kerana tidak menunjukkan hasil yang memuaskan.
Amalan membunuh haiwan di zoo Eropah bukanlah perkara luar biasa, dan sering dilakukan atas pelbagai alasan termasuk kesihatan, ruang dan pengurusan populasi.
Namun, beberapa kes terdahulu mencetuskan kontroversi, seperti kejadian pada 2014 apabila Zoo Copenhagen membunuh seekor zirafah sihat berusia dua tahun, memotong bangkainya di hadapan kanak-kanak dan kemudian memberikannya kepada singa sebagai makanan.
































