Fadhlina Sidek
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kelmarin meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang mewajibkan pendidikan menengah bagi mengukuhkan reformasi sistem pendidikan negara.
Menurut Utusan Malaysia, RUU yang dibentangkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek itu mendapat sokongan majoriti selepas dibahaskan oleh 34 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Ketika pergulungan perbahasan, Fadhlina berkata, penggunaan RUU tersebut turut melibatkan institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) apabila ia dikuatkuasakan kelak.
“Peruntukan ini merangkumi sekolah swasta yang melaksanakan kurikulum kebangsaan, sekolah menengah agama swasta, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat serta sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negara,” katanya.
Tambah beliau, institusi pendidikan menengah rendah dan menengah atas berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain juga dikategorikan sebagai institusi pendidikan yang boleh diikuti oleh murid bagi memenuhi syarat pendidikan menengah wajib.
“Kita tiada masalah untuk memperluaskan perihal pengecualian agar justifikasi, ruang dan peluang murid tidak dipinggir atau didiskriminasi atas apa-apa alasan,” ujarnya.
Mengulas institusi pendidikan yang tidak berdaftar, Fadhlina berkata, sesi penjelasan kepada ibu bapa dan pemilik institusi terlibat perlu dilakukan bagi memberikan kefahaman mengenai pemakaian RUU ini.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berusaha meyakinkan pemilik institusi terbabit untuk mendaftar secara sah supaya kurikulum standard dapat ditawarkan, selain membolehkan pemantauan terhadap isu-isu yang timbul di sekolah berkenaan.
Fasal 2 RUU itu bertujuan meminda Seksyen 2 Akta 550 bagi menggantikan takrif ‘pendidikan wajib’ dengan memasukkan pendidikan menengah sebagai sebahagian daripada takrif tersebut.
Fasal 3 pula bertujuan meminda Seksyen 29A(2) akta sama bagi memperuntukkan bahawa ibu bapa kepada anak-anak warganegara Malaysia yang menetap di dalam negara wajib memastikan anak mereka didaftarkan di sekolah rendah dan kekal sebagai murid sepanjang tempoh pendidikan rendah.
Pendaftaran perlu dilakukan jika kanak-kanak itu mencapai umur enam tahun pada 1 Januari tahun persekolahan semasa.
Sementara itu, Fasal 4 pula memperkenalkan seksyen baharu, Seksyen 32A, yang memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk menetapkan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib.
Ia juga memberi peruntukan pengecualian terhadap mana-mana murid daripada mengikuti pendidikan wajib serta kuasa kepada menteri untuk membuat peraturan pelaksanaan pendidikan menengah wajib.
Seksyen tersebut turut mewajibkan ibu bapa kepada anak warganegara yang menetap di Malaysia memastikan mereka didaftarkan di institusi pendidikan menengah sepanjang tempoh pendidikan berkenaan, selain memperkenalkan penalti bagi kesalahan melanggar subseksyen 32A(2).
































