Donald Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai tahap kesihatannya selepas gambar buku lali beliau yang kelihatan membengkak tersebar di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, gambar berkenaan dirakam ketika Trump, 79, mengadakan pertemuan bersama Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen di padang golf miliknya di Turnberry, Scotland yang menyaksikan kedua-dua pihak mencapai kesepakatan tarif import sebanyak 15 peratus antara AS dan Kesatuan Eropah (EU).

Bagaimanapun, apa yang mencuri perhatian warganet bukanlah isi perbincangan, sebaliknya keadaan buku lali Trump dikatakan mengalami bengkak luar biasa sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
Laporan sebelum ini mengesahkan Trump telah disahkan menghidap chronic venous insufficiency, iaitu keadaan di mana salur darah vena di kaki gagal mengepam darah kembali ke jantung dengan berkesan, menyebabkan darah berkumpul di bahagian bawah anggota badan dan mengakibatkan pembengkakan.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt memaklumkan lebam di tangan presiden itu baru-baru ini pula berpunca daripada ‘kerosakan tisu’ akibat terlalu kerap berjabat tangan, selain beliau turut mengambil aspirin sebagai sebahagian daripada rejim pencegahan penyakit kardiovaskular.
Trump sebelum ini sering mendakwa dirinya berada dalam keadaan kesihatan yang terbaik dan pernah menggambarkan dirinya sebagai “presiden paling sihat dalam sejarah.”
Isu buku lali Trump mula mendapat perhatian meluas awal bulan ini semasa kehadirannya di Kejohanan Bola Sepak Piala Kelab Dunia FIFA, apabila gambar-gambar yang tular menunjukkan keadaan fizikal beliau yang didakwa tidak normal.
Menurut laporan Irish Star, keadaan venous insufficiency merupakan antara punca biasa kepada pembengkakan kaki dan buku lali serta diburukkan lagi akibat terlalu lama berdiri atau duduk, selain berisiko dikaitkan dengan masalah buah pinggang, hati, kegagalan jantung kongestif atau deep vein thrombosis (DVT).
Selain isu fizikal, Trump turut berdepan dakwaan berterusan berkaitan kesihatan mentalnya. Warganet mempersoalkan sama ada beliau mengalami kemerosotan kognitif susulan kelakuan serta ucapan yang didakwa tidak menentu di media sosial dan sidang media.
Ironinya, Trump sebelum ini sering memperlekeh Bekas Presiden Joe Biden dengan mendakwa lawannya itu tidak layak memegang jawatan Presiden disebabkan keadaan kesihatan yang kononnya semakin uzur.
































