Masidi, mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, menyapa Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance, John Payne. Turut mengiringi Masidi ialah Pengerusi Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik, Tan Sri Majid Khan.
KOTA KINABALU: Kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini telah membuka peluang untuk Sabah menarik lebih banyak pelaburan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Undang-undang ini memberikan keyakinan yang diperlukan oleh pelabur. Namun, peluang yang lebih besar terletak pada kerjasama ASEAN. Untuk membangunkan sektor ini, kita memerlukan pasaran karbon serantau yang berfungsi.
“Ini bermaksud keperluan kepada piawaian bersama, penjajaran peraturan dan pengiktirafan kredit karbon rentas sempadan. Sistem yang berpecah-belah hanya akan melambatkan pelaburan.
“Sabah bersedia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain untuk menggerakkan agenda ini. Hutan kita sudah memainkan peranannya. Kini, rangka kerja perlu seiring,” katanya pada Sidang Kemuncak Perhutanan Mampan ASEAN 2025 yang diadakan di Shangri-La Tanjung Aru, di sini, hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, Enakmen itu memperkenalkan penubuhan Majlis Tindakan Iklim Sabah, Dana Iklim, inventori pelepasan karbon peringkat negeri dan rangka kerja untuk perkongsian manfaat, khususnya dengan komuniti Orang Asal.
“Hak karbon kini telah disahkan secara sah sebagai milik Kerajaan Negeri. Dan segala aktiviti berkaitan karbon, daripada kelulusan projek hingga kepada perdagangan kredit, kini akan ditadbir oleh struktur yang jelas dan boleh dikuatkuasakan,” katanya.
Ketua Menteri turut menegaskan bahawa Sabah kini adalah sebuah wilayah ‘net sink’, menyerap lebih banyak karbon berbanding yang dilepaskan.
“Kita antara segelintir wilayah di dunia yang memegang status ini, dan dianggarkan Sabah menyumbang kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan keupayaan penyerapan karbon negara.
“Ini bukan sekadar pencapaian alam sekitar. Ia adalah aset ekonomi strategik. Dalam dunia yang semakin terhad karbon, ia adalah kelebihan daya saing yang tidak boleh kita abaikan,” katanya.
Hajiji berkata, sektor perhutanan kekal sebagai tonggak kepada ekonomi, alam sekitar dan masa depan Sabah.
“Di bawah pelan pembangunan Kerajaan Negeri, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kita telah mengintegrasikan perhutanan mampan dalam strategi pertumbuhan jangka panjang.
“Pada 2022, kita melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan, iaitu pelan 15 tahun untuk memulihkan 400,000 hektar hutan terosot. Inisiatif ini bukan sekadar penanaman semula pokok, ia bertujuan memastikan bekalan kayu mampan, menjana pekerjaan hijau dan memperkukuh ekonomi luar bandar.
“Untuk mencapai sasaran pelan ini, komitmen berterusan pemegang lesen Unit Pengurusan Hutan (FMU) serta kerjasama rapat dengan Jabatan Perhutanan Sabah amat penting,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji menggesa semua pemegang lesen FMU untuk menunaikan tanggungjawab mereka, manakala Jabatan Perhutanan Sabah pula memperkukuh peranannya dalam memantau kemajuan dan memastikan pelaksanaan mengikut landasan.
“Apabila dilaksanakan sepenuhnya, pelan ini dijangka menyumbang lebih RM11 bilion kepada KDNK Sabah dan mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan sepanjang rantaian nilai,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa industri perkayuan kekal sebagai sektor strategik negeri, dengan kutipan royalti kayu meningkat kepada RM171 juta pada tahun 2024, peningkatan sebanyak RM16 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Volum eksport juga terus meningkat, terutamanya ke Jepun, Amerika Syarikat dan Taiwan. Sasaran kita jelas: mengurangkan kebergantungan kepada hutan asli dan meningkatkan pengeluaran kayu mampan berasaskan ladang hutan,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, Sabah sebagai pengeluar utama minyak sawit mentah (CPO) di Malaysia yang menyumbang lebih 25 peratus pengeluaran negara, terus memperkukuh kedudukannya dalam industri sawit.
“Pada 2024, pengeluaran CPO Malaysia mencecah 19.3 juta tan, tertinggi dalam tempoh enam tahun, dan permintaan global kekal kukuh. Kita memanfaatkan kelebihan ini untuk menarik pelaburan dalam pemprosesan hiliran, biofuel dan inovasi berasaskan sawit.
“Kemudahan seperti Kluster Perindustrian Sawit (POIC) Lahad Datu dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang menjadikan Sabah hab kepada pembuatan nilai tambah dan pembangunan biojisim, sekali gus menjadi pemacu transformasi,” katanya.
Ketua Menteri berkata sektor perhutanan dan perubahan iklim kini menjadi teras kepada strategi ekonomi Sabah, Malaysia dan ASEAN. “Sidang kemuncak ini mencerminkan perubahan itu. Kita tidak lagi menganggap kelestarian sebagai pilihan, ia kini sebahagian daripada cara kita mencipta pekerjaan, menarik pelaburan dan memperkukuh daya tahan,” katanya.
Secara ringkasnya, Ketua Menteri berkata, Sabah kini bersedia menyertai pasaran karbon dengan adanya undang-undang yang jelas, institusi yang kukuh serta pelan hala tuju SMJ yang memandu pelaksanaan.
“Hutan dan komuniti kita telah pun menjalankan tugas berat, menyerap karbon, melindungi biodiversiti dan mengamalkan penggunaan lestari. Tapi kita tidak mampu melakukannya bersendirian.
“Kita mengalu-alukan mereka yang membawa modal, kepakaran dan kerjasama jangka panjang dari ASEAN dan luar. Melaburlah di Sabah. Anda melabur dalam sebuah negeri yang stabil, strategik dan komited terhadap masa depan hijau,” katanya.
Sidang Kemuncak ini dianjurkan bersama oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi ASEAN, menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan pakar alam sekitar dari seluruh Asia Tenggara untuk menangani keperluan mendesak dalam perhutanan mampan dan daya tahan iklim.
































