NEW YORK: Lima maut termasuk suspek yang melepaskan tembakan dalam satu insiden di pusat bandar Manhattan, menurut Polis New York (NYPD).
Menurut Utusan Malaysia, insiden itu mencetuskan situasi panik sehingga pihak berkuasa mengeluarkan arahan perintah berkurung di beberapa kawasan.
Datuk Bandar New York, Eric Adams, dalam kenyataan di platform X berkata, antara lima yang terkorban termasuk seorang anggota polis dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
NYPD memaklumkan melalui X, kawasan sekitar Park Avenue dan East 51st Street telah “dikawal sepenuhnya” dan “penembak tunggal telah dinyahancam (neutralized).”
Tiada maklumat lanjut mengenai identiti suspek didedahkan setakat ini.
Pesuruhjaya Polis, Jessica Tisch, turut mengesahkan dalam kenyataan di X bahawa penembak telah “dinyahancam” sambil menyatakan kejadian melibatkan beberapa individu yang ditembak, tetapi tidak memberi butiran lanjut.
Saluran berita Fox News, memetik sumber dari NYPD, melaporkan sekurang-kurangnya enam individu, termasuk seorang pegawai polis, telah ditembak. Pegawai berkenaan kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital berhampiran.
Dalam suasana kecoh waktu puncak petang, polis menggunakan dron bagi memantau kawasan Park Avenue, manakala puluhan anggota polis dilihat berkawal.
Beberapa ambulans dan helikopter juga berada di lokasi, sementara orang awam dan media diarahkan menjauhi kawasan tersebut oleh pihak berkuasa.
Kawasan kejadian terletak di Midtown Manhattan iaitu sebuah lokasi komersial sibuk yang menempatkan hotel bertaraf lima bintang dan ibu pejabat syarikat gergasi seperti Colgate Palmolive dan KPMG.
Motif insiden masih belum diketahui dan siasatan sedang dijalankan.
































