Zara Qairina
PETALING JAYA: Siasatan polis melibatkan kematian pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar, Zara Qairina Mahathir, 13, akan dilakukan secara menyeluruh.
Menurut Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kertas siasatan melibatkan kes itu sedang dalam tindakan untuk dilengkapkan.
“Sebaik sahaja lengkap, kita akan maklum perkembangan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemukan dalam keadaan parah di bangunan asrama itu selepas terjatuh dari tingkat tiga.
Remaja itu kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini, untuk rawatan lanjut.
Kejadian itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.
Ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, yang juga seorang guru turut menyuarakan harapan agar siasatan dilakukan secara adil, saksama dan telus terhadap kematian anaknya.

































