Ghulamhaidar Khan Bahadar
KOTA KINABALU: Bendahari Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar mengajak seluruh ahli parti agar terus bangkit memperkasakan perjuangan demi masa depan rakyat dan Sabah.
Berucap membentangkan laporan kewangan parti sempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini kelmarin, Ghulamhaidar berkata, Gagasan Rakyat adalah nadi perjuangan rakyat yang berpasak di bumi Sabah.
“Dalam menghadapi gelanggang pilihan raya tidak lama lagi, marilah kita terus kibarkan panji-panji perjuangan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang itu turut menegaskan sokongan padu seluruh ahli terhadap kepimpinan Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Kepada Presiden, teruslah memimpin kami dengan hikmah, membangun negeri dengan istiqomah menuju Sabah Maju Jaya. Jangan gentar dan mundur, biar ada api dan duri. Demi rakyat dan negeri tercinta, teruslah memimpin kami sampai bila-bila,” katanya.
Menurut beliau, kepimpinan Hajiji bukan sahaja berjaya menstabilkan lanskap politik Sabah, malah telah mengangkat martabat negeri ini ke tahap yang lebih tinggi dari aspek pembangunan dan ekonomi.
“Di bawah kepimpinan beliau, Sabah mengalami transformasi yang nyata dengan asas pembangunan yang inklusif, pertambahan pelaburan serta prestasi ekonomi yang semakin membugar. Inilah bukti bahawa Gagasan Rakyat sebagai tunjang utama Kerajaan GRS bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi merupakan gerakan rakyat yang benar-benar membawa perubahan,” ujarnya.
Ghulam turut menyentuh ketabahan Hajiji yang kekal tenang dan fokus kepada tanggungjawab meskipun berdepan pelbagai serangan peribadi dan gelombang fitnah yang tidak putus-putus.
“Beliau (Hajiji) terus menyulam harapan rakyat menjadi dasar perjuangan parti. Inilah pemimpin yang sukar dicari ganti – hadir tepat ketika negeri memerlukan sinar kepimpinan,” katanya sambil merujuk buku bertajuk ‘Hanya Satu Hajiji, The One And Only’.
Ucapan beliau turut membakar semangat para perwakilan apabila disampaikan secara puitis sebagai penutup.
“Di rumah ini, kita bertapak, di bumi Sabah, kita berjanji; demi maruah, dan demi rakyat; Gagasan Rakyat akan terus berarak.
“Bersama Presiden, kami teguh berdiri; pimpinan tekad ikhlas di hati; saf dirapatkan menuju ke medan pilihan raya; demi negeri, kita GASAK mantapkan parti.
“Laksana ayam sabung merah bertaji; gagah berkokok di subuh hari; bertuahnya negeri punya pemimpin bernama Datuk Seri Hajiji; tabah berdiri tiada menyepi, hati sejati; berbudi pekerti, berjuang tanpa henti; mengabdi pada seluruh jajaran parti; semoga di bawah pimpinannya, Sabah terus diberkati; dan seluruh rakyat dilindungi dan dirahmati.”


































