Saifuddin Nasution Ismail menghadiri Sambutan Hari Ulang Tahun ke-53 Rela 2025 di Dataran Kulim, hari ini.
KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti laporan penuh siasatan ‘pasport terbang’ susulan penahanan empat pegawai penguatkuasa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain sudah diminta menguruskan kes itu mengikut prosedur.
“Saya akan minta laporan penuh daripada Ketua Pengarah AKPS, Sekarang baru hari ke-25 (Shuhaily mengetuai agensi itu), biar dia urus dulu. Saya percaya kita telah meletakkan orang yang betul pada tempatnya,” katanya selepas Sambutan Ulang Tahun ke-53 Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di sini, hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 ketika bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor di sempadan Johor-Singapura.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 20 hingga 40-an itu ditahan selepas siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam urusan keluar masuk pasport tanpa kehadiran pemilik, dikenali sebagai kegiatan ‘pasport terbang’.
Dalam perkara berkaitan, Saifuddin turut mengulas kritikan awal terhadap pelantikan Shuhaily yang sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk menerajui AKPS.
“Waktu kita buat pengumuman dulu, saya kena teruk, orang persoal kenapa pegawai yang baik dalam PDRM diletakkan untuk jaga satu agensi baharu. Sekarang dia mula tunjukkan keberkesanan kepemimpinan.
“Kemudian orang kata pula, ‘jadi Menteri KDN tak payahlah ‘hun’ (ambil nama), ini semua kerana ketangkasan Ketua Pengarah’ bukan kerana menteri letak dia situ, habislah. Itu biar luncai terjun dengan labu-labunya. Saya tak mahu layan,” katanya .
Sementara itu, KDN merancang untuk meningkatkan fungsi Rela dalam aspek kawalan di kawasan yang lebih sensitif termasuk pintu masuk negara berbanding tugas sukarelawan hakiki.
Saifuddin berkata, Rela perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran baharu termasuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan berbanding kemahiran untuk mengawal keselamatan biasa dan membantu mangsa bencana.
“Peranannya adalah membantu agensi penguat kuasa sedia ada seperti AKPS, polis dan tentera kerana KDN melihat bahawa Rela juga ada ruang untuk ikut membantu,” katanya.

































