Wilayah selatan Thailand yang sering menjadi tumpuan pelancong Malaysia seperti Satun, Songkhla, Hatyai dan Krabi masih selamat untuk dikunjungi.
BUKIT KAYU HITAM: Penunggang motosikal rakyat Malaysia yang merancang memasuki Kemboja melalui Thailand tidak dapat berbuat demikian buat masa ini berikutan beberapa kawasan sempadan negara itu ditutup.
Menurut Utusan Malaysia, rakyat Malaysia yang tinggal di Satun, Abdul Halim Othman berkata, laluan masuk ke kawasan terletak berhampiran kira-kira 270 kilometer dari lokasi konflik Thailand dan Kemboja telah ditutup buat sementara waktu.
“Jadi penunggang motosikal rakyat Malaysia yang merancang memasuki Kemboja melalui Thailand melalui laluan darat tidak dapat berbuat demikian buat masa kini,” katanya diketika dihubungi semalam.
Krisis sempadan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak selepas insiden tembak-menembak tercetus berhampiran dua kuil purba di wilayah Surin, Thailand dan Oddar Meanchey, Kemboja sejak kelmarin.
Susulan ketegangan itu, Kedutaan Thailand di Phnom Penh menggesa rakyatnya agar meninggalkan Kemboja kecuali atas urusan penting.
Abdul Halim berkata, 14 wilayah selatan Thailand yang sering menjadi tumpuan pelancong Malaysia seperti Satun, Songkhla, Hatyai dan Krabi masih selamat untuk dikunjungi.
Katanya, semua lokasi itu terletak kira-kira 1,500 kilometer (km) perjalanan dari lokasi pertempuran yang terletak di sempadan utara Thailand.
Sementara itu, seorang pelancong, Mohd. Yusof Ismail, 53, ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, Kelantan berkata, situasi di negara berkenaan masih lagi selamat dan konflik yang sedang berlaku ketika ini hanya melibatkan sempadan Thailand-Kemboja.
“Saya pulang ke Thailand kerana urusan keluarga sebelah isteri di Narathiwat. Jadi kawasan itu agak jauh dengan selatan Thailand.
“Insya-Allah, kawasan ini masih lagi selamat dan tiada sebarang amaran atau maklumat yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Thailand setakat ini,” katanya.
































