Dr. Joachim (tengah), Suman (empat dari kiri) dan Flovia (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama dengan semua yang hadir dalam penutupan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-40, PBS Bahagian Tulid.
KENINGAU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru semua ahli parti, khususnya golongan belia dan beliawanis, agar terus mendekati masyarakat dengan turun ke kampung-kampung dan memperkasakan belia setempat.
Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II, turut menggesa seluruh jentera PBS untuk bersatu hati dan memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba.
“Saya berharap semua ahli PBS di Tulid dapat memberi kerjasama penuh dengan mana-mana parti komponen dalam GRS.
“Kerjasama dalam GRS adalah yang terbaik dan meyakinkan. Konvensyen yang telah diadakan menunjukkan kesepakatan yang perlu diteruskan dan diterjemahkan apabila tiba masa untuk bergabung secara rasmi,” katanya ketika merasmikan penutupan Mesyuarat Akhir Tahunan PBS Bahagian Tulid di Dewan Kampung Kapayan Baru, di sini, hari ini.

Dr. Joachim (tengah) diiringi oleh Flovia (kanan) dan Suman ketika memasuki Dewan Kampung Kapayan Baru.
Dr. Joachim menegaskan, PBS sentiasa komited menyokong keputusan pimpinan tertinggi GRS, termasuk calon yang akan diketengahkan di kawasan Tulid.
“Saya yakin kerusi Tulid akan kekal dalam genggaman GRS. Yang penting, kamu bekerja kuat. PBS are here to stay. Selagi tuntutan kita belum tertunai, kita akan teruskan perjuangan,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Bahagian PBS Tulid, Datuk Suman Yasambun atas jemputan dan kejayaan menganjurkan mesyuarat tersebut.

Dr. Joachim (tengah) bersama yang lain menyempurnakan upacara memotong kek.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Pelaksana Majlis, Andrey Asang dan Pengerusi Mesyuarat, Datuk Peter Jino Allion serta semua ahli jawatankuasa pelaksana yang bertungkus-lumus menjayakan majlis berkenaan.
“Syabas dan tahniah juga kepada semua AJK cawangan yang telah berjaya mengadakan mesyuarat masing-masing serta menghantar wakil ke mesyuarat bahagian ini,” katanya.
Turut hadir ialah Naib Presiden PBS merangkap Ketua Pemuda, Datuk Dr. Christoper Mandut; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng; Ketua-Ketua Bahagian dan beberapa lagi Ahli Majlis Tertinggi PBS yang lain.
Hadir sama Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Jehan Osman.
































