PETALING JAYA: Jumlah pembekuan dan penyitaan harta membabitkan sindiket penyeludupan besi buruk melalui Op Metal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini berjumlah RM332.5 juta.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam baki berkata, sehingga kini sitaan berkenaan membabitkan tanah bernilai RM165 juta, kereta (RM1.9 juta) serta rumah (RM15.5 juta).
Katanya, turut disita adalah jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM740,00 manakala akaun bank dibekukan kira-kira RM149.5 juta.
“Setakat ini seramai 27 orang sudah dirakam percakapan membabitkan pengarah syarikat, dua agensi penguat kuasa, pemilik syarikat, pengurus akaun dan forwarding ejen.
“Fokus siasatan adalah menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan penyiasatan turut menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram termasuk siasatan kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, serta Akta Kastam 1967 oleh agensi-agensi lain yang terlibat dalam operasi terbabit.
Sebelum ini media melaporkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri antara individu yang disiasat SPRM kerana terbabit dalam penyeludupan keluar besi buruk untuk dieksport dengan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana ditetapkan kerajaan.
Kegiatannya terbongkar selepas SPRM menyerbu lima negeri berlaku sindiket penyeludupan besi buruk yang menyebabkan negara mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.
Serbuan di bawah Op Metal itu dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
































