Dr. Ramzah Dambul
KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas meneruskan komitmen memperkasa wanita muda dalam keusahawanan melalui Siri Jelajah Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi yang kini diperluaskan ke bahagian utara Sabah.
Kudat dipilih sebagai lokasi keenam program ini, hasil usaha berterusan memperkasa potensi keusahawanan wanita muda di negeri ini.
Program berkenaan akan berlangsung pada Rabu, 23 Julai 2025 di Dewan Tun Mustapha, Kudat dan bakal menghimpunkan peserta dari daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas.
Sejak diperkenalkan pada Februari lalu dengan tema “Let the Journey Begin”, program ini telah membuka ruang latihan berstruktur dan pendedahan praktikal kepada wanita muda luar bandar bagi meningkatkan kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi cabaran keusahawanan.
Matlamat utama program ini adalah untuk menyediakan platform jaringan (networking), memberi akses kepada maklumat berkaitan peluang dan bantuan keusahawanan, serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan literasi digital dalam aspek pemasaran dan keselamatan.
Pendekatan ini bukan sahaja memantapkan kemahiran dan keyakinan diri peserta, malah turut memperkukuh peranan wanita muda luar bandar sebagai pemangkin pembangunan ekonomi komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul menegaskan bahawa Kudat bukan sekadar lokasi persinggahan, malah merupakan platform penting untuk melonjakkan potensi komuniti usahawan akar umbi.
“Kami percaya, setiap kejayaan usahawan muda akan membawa sinergi pembangunan kepada masyarakat setempat. Komitmen kami tidak terhenti pada pembangunan individu semata-mata, tetapi melangkaui kepada pembinaan kapasiti masyarakat akar umbi. Dengan memperkasa wanita muda di luar bandar seperti di Kudat, kami yakin usaha ini membuka ruang ke arah pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan memberi impak menyeluruh kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara pengisian utama program termasuk sesi perkongsian mengenai peranan Pihak Berkuasa Tempatan dalam menyokong pembangunan usahawan di peringkat akar umbi, bimbingan tentang bagaimana kraf tradisi dapat diangkat sebagai sumber ekonomi komuniti, serta pendedahan kepada literasi digital dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan luar bandar.
Turut diketengahkan ialah perkongsian inspirasi kejayaan usahawan wanita tempatan serta penerangan berkenaan Skim Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) yang ditawarkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah.
Program ini terus memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pembinaan komuniti usahawan wanita muda yang lebih progresif, menerusi pelibatan aktif peserta, pengukuhan jaringan sokongan tempatan, serta galakan kepada kolaborasi rentas agensi dan sektor.
IDS dan SCC akan terus mempeluaskan program ini ke daerah-daerah lain yang berpotensi, selaras dengan matlamat pembangunan inklusif negeri.
































