BANGKOK: Thailand terus mengukuhkan statusnya sebagai destinasi pelancongan utama dunia apabila Chiang Mai secara rasmi dinobat sebagai Bandar Terbaik Asia bagi tahun 2025.
Menurut Utusan Malaysia, pengiktirafan berprestij itu diumumkan oleh majalah pelancongan terkemuka dunia, Travel + Leisure, dengan meletakkan Chiang Mai di tempat teratas selepas mencatatkan skor 91.94 daripada 100 mata.
Kedudukan itu mengetepikan beberapa bandar popular lain di rantau ini seperti Tokyo yang berada di tempat kedua dengan skor 91.39, diikuti oleh Bangkok di tempat ketiga dengan 91.34 mata.
Jurucakap Timbalan Pejabat Perdana Menteri Thailand, Sasikan Wattanachan, ketika mengulas pencapaian tersebut menyifatkannya sebagai bukti kukuh Thailand semakin diiktiraf sebagai destinasi kelas dunia.
“Pengiktirafan ini membuktikan potensi besar Thailand dalam pelancongan berkualiti serta kesediaan kita untuk menjadi hab pelancongan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Majalah Travel + Leisure memuji kekayaan budaya, keindahan alam semula jadi dan hospitaliti masyarakat Chiang Mai sebagai faktor utama kejayaan bandar itu.
Antara mercu tanda yang ada di Chiang Mai ialah Wat Phra That Doi Suthep, kuil bersejarah yang menjadi ikon di puncak bukit dan taman-taman negara yang memukau pandangan disamping turut menerima pujian kerana komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Kehadiran santuari gajah dan inisiatif ekopelancongan menjadikan bandar itu pilihan pelancong yang mencari pengalaman tulen dan beretika.
Pengiktirafan ini hadir pada saat Thailand sedang menikmati lonjakan kemasukan pelancong selepas pandemik dan pihak berkuasa melihat anugerah ini sebagai peluang untuk mempromosikan kepelbagaian tarikan negara itu daripada keheningan kuil di Chiang Mai hinggalah kepada kehidupan malam yang meriah di Bangkok.
Dengan tumpuan dunia kini terarah ke wilayah utara Thailand itu, Chiang Mai dijangka mencatatkan rekod baharu dari segi jumlah pelancong pada tahun ini.
































