Donald Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Indonesia komited untuk membeli 50 jet Boeing sebagai sebahagian daripada pakatan perdagangan yang dirundingkan bagi mengelak tarif lebih tinggi yang dikenakan sebelum ini.
Menurut Utusan Malaysia, perjanjian itu menjadi kunci terhadap keputusan Trump mengurangkan kadar tarif ke atas Indonesia kepada 19 peratus berbanding 32 peratus yang dikenakan minggu lalu.
Sebagai balasan kepada tarif yang lebih rendah itu, Indonesia turut bersetuju untuk membelanjakan berbilion dolar bagi meningkatkan import tenaga, pertanian dan barangan dari AS.
“Saya sudah memuktamadkan satu perjanjian penting dengan Indonesia selepas berbincang dengan Presiden mereka yang sangat dihormati, Prabowo Subianto. Perjanjian bersejarah ini membuka seluruh pasaran Indonesia kepada AS buat pertama kalinya dalam sejarah.
“Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Indonesia komited untuk membeli AS$15 billion (RM63.69 billion) dalam tenaga AS, AS$4.5 billion (RM19 billion) dalam produk pertanian kami dan 50 Jet Boeing, kebanyakannya model 777,” kata Trump dalam catatan Truth Social semalam.
Trump turut memaklumkan lebih banyak perjanjian sedang dirancang ketika beliau terus mendesak terma lebih baik dengan rakan dagangan dan berusaha mengurangkan defisit perdagangan AS.
“Indonesia akan membayar tarif sebanyak 19 peratus kepada AS ke atas semua barangan yang mereka eksport kepada kami, manakala eksport AS ke Indonesia akan bebas daripada tarif dan halangan bukan tarif.
“Jika terdapat sebarang penghantaran semula dari negara yang dikenakan tarif lebih tinggi, maka tarif itu akan ditambah kepada tarif yang sedang dibayar oleh Indonesia,” jelasnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Indonesia atas komitmen mereka dalam usaha mengimbangi defisit perdagangan.
“Kami akan terus menyampaikan hasil untuk rakyat AS dan rakyat Indonesia,” kata Trump.
Sementara itu, Prabowo mengumumkan permulaan era baharu dalam hubungan perdagangan dengan AS berikutan perjanjian tersebut.
“Saya mengadakan panggilan yang sangat baik dengan Trump. Kami bersetuju dan memutuskan untuk membawa hubungan perdagangan antara Indonesia dan AS ke era baharu yang saling menguntungkan,” tulis Prabowo Subianto dalam satu hantaran di Instagram.
Prabowo turut memuat naik gambar dirinya ketawa ketika berbual di telefon dengan Trump, namun tidak mendedahkan butiran khusus mengenai perjanjian tersebut.
Perjanjian dengan Indonesia, yang merupakan rakan dagang yang agak kecil bagi AS, adalah antara beberapa perjanjian yang dimeterai setakat ini oleh pentadbiran Trump menjelang tarikh akhir 1 Ogos, apabila tarif ke atas kebanyakan import dijangka meningkat.


































