Karim bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama AADK di pejabatnya, hari ini.
KUCHING: Sarawak mungkin melaksanakan pengharaman penjualan vape kerana penggunaan rokok elektronik itu kini banyak disalahgunakan untuk penyalahgunaan dadah.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan itu dicapai setelah solidariti program pendidikan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang mendapat sokongan daripada beberapa siri mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Sarawak yang diadakan di Serian, Sibu dan Miri, dengan menyatakan sokongan penuh untuk pengharaman penjualan vape di Sarawak.
“Perkara ini juga menjadi isu nasional pada masa ini. Ia sedang dalam perbincangan di negeri-negeri lain kerana masalah vape bersangkut-paut dengan masalah penyalahgunaan dadah.
“Kalau dahulu vape dilihat sebagai hanya untuk hisap rokok sahaja tetapi sekarang vape banyak disalahgunakan untuk dadah dan sebagainya.
“Sebab itu kerajaan perlu melihat perkara ini, tapi di peringkat negeri kita telah bersetuju secara menyeluruh untuk vape diharamkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di pejabatnya, semalam.
Karim yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Sarawak menambah, mesyuarat sebulat suara bersolidariti untuk menolak penggunaan vape di Sarawak setelah mengambil kira ada antara negeri-negeri di Malaysia telah mengeluarkan fatwa berkaitan.
Bagaimanapun, katanya mengeluarkan fatwa tidak akan dapat mengharamkan vape kerana itu hanya dari sudut pandangan agama.
Dalam pada itu, Karim berkata, penggunaan vape juga membimbangkan dalam kalangan pelajar, yang boleh menjerumuskan mereka kepada penyalahgunaan dadah.
“Statistik pada masa ini, 20,000 pelajar sekolah terlibat dalam penggunaan vape dan ini bukan sesuatu yang baik,” katanya.
































