Dzulkhairi Mukhtar (dua dari kanan) menunjukkan pistol tiruan yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di Batu Berendam, Melaka.
MELAKA: Polis merampas 351 pucuk pistol tiruan jenis airsoft gun bernilai RM105,300 dalam serbuan di sebuah premis menjual alat permainan di Taman Teknologi Cheng di sini, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, pistol yang menyerupai senjata sebenar itu diperoleh dari sebuah negeri di utara tanah air dan dikirim ke Melaka untuk dijual pada harga RM200 hingga RM300 sepucuk termasuk kepada pelajar sekolah.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan kira-kira pukul 10.22 pagi itu menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dipercayai penjaga premis dan kos seunit dianggarkan RM20 hingga RM30 sepucuk.
“Senjata ini dipercayai dijual secara bersemuka dan melalui platform dalam talian. Polis tidak menolak kemungkinan pistol tiruan ini turut dijual kepada pelajar sekolah kerana terdapat kes guru menjumpai pelajar membawa senjata mainan ke sekolah dengan alasan untuk menembak cicak, anjing dan sebagainya.
“Turut dirampas dua kotak yang mengandungi peluru plastik. Lelaki itu gagal mengemukakan sebarang lesen penjualan senjata yang sah kepada polis.
“Semakan mendapati premis itu memiliki permit untuk membeli senjata mainan pada tahun lalu tetapi tidak memperbaharuinya. Disebabkan itu polis telah pergi membuat pemeriksaan dan menjumpai pistol mainan yang menyerupai senjata sebenar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata, polis sedang mengesan pemilik premis bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki dan mengimport senjata tiruan.
































