Paparan syiling menerusi platform X milik CIA.
PETALING JAYA: Hantaran media sosial Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) hari ini mencetuskan tanda tanya ekoran paparan gambar tiga keping duit syiling Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, ciapan di akaun rasmi X milik CIA memuat naik gambar bertajuk ‘Artifact of the Week: Coins Left at the Statue of Nathan Hale’.
Paparan itu menunjukkan tiga keping syiling iaitu 20 sen, 10 sen dan 5 sen dengan bertarikh 2017 hingga 2018.
Ketiga-tiga syiling itu juga mempunyai lukisan simbol yang tidak dikenal pasti, termasuk bentuk menyerupai orang lidi dan tapak kaki haiwan.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan siapa yang meninggalkan syiling itu dan apa makna sebenar simbol-simbol pada permukaannya.
Ia menimbulkan pelbagai tanda tanya dan spekulasi dalam kalangan orang ramai.
Berdasarkan beberapa maklumat, tindakan itu dikatakan sebahagian daripada tradisi lama dalam kalangan pegawai CIA.
Sebelum dihantar bertugas ke luar negara, ejen-ejen dilaporkan akan meninggalkan sekeping syiling di kaki patung itu dengan kepercayaan bahawa ia membawa tuah dan memastikan perlindungan sepanjang misi mereka.
































